Empat Penyelidik UUM Rangkul Pingat Emas I-RIA

Dr Nor Laily (kanan) bersama rakannya menunjuk hasil kejayaan mereka selepas menerima pingat emas di KLCC, baru-baru ini.
SINTOK - Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya merangkul pingat emas dalam Innovative Research, Invention and Application Expo (I-RIA) 2016 di UUM, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan empat penyelidik yang diketuai Dr Nor Laily Hashim bersama Dr Yuhanis Yusof, Noraziah Che Pa dan Dr Azham Hussain berjaya  membangunkan satu bantuan sokongan keputusan iaitu Adaptive Emergency Evacuation Centre Management (AEECM).

Reka cipta itu bertujuan untuk mengagihkan semula semua mangsa banjir ke pusat pemindahan baharu apabila keadaan semakin teruk.

Menurut Nor Laily, setiap kali berlaku bencana itu, pengurusan banjir akan memberi tumpuan pada pemindahan segera kepada mangsa terlibat yang mana proses pemindahan dan penempatan semula mangsa banjir itu membabitkan kos tinggi.

Beliau berkata, sehingga kini masih tiada kajian dilakukan bagi mencari penyelesaian kepada mangsa yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan sekiranya pusat pemindahan tersebut juga turut dinaiki air.

“Sehubungan itu, kami membangunkan aplikasi AEECM yang bertindak memberikan maklumat mengenai bilangan mangsa yang perlu dihantar ke pusat pemindahan baru.

“Aplikasi ini dibangunkan di atas platform berasaskan web dan aplikasi mudah alih android. Ia boleh dimuat turun dan dipasang pada peranti android tersebut,” katanya.

Sebagai permulaan Kuala Krai, Kelantan yang mengalami banjir pada 2014 lalu, telah dipilih melibatkan 109 pusat pemindahan dari empat daerah iaitu Guchil, Mengkebang, Manek Urai dan Dabong.

Reka cipta ini juga membolehkan empat penyelidik berkenaan turut meraih pingat emas di 27th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX’16) yang berlangsung pada Mei lalu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Sumber: Sinar Harian