TINDAKAN seorang gadis Islam yang memutuskan untuk makan secara terbuka di sebuah restoran di sebuah pasar raya di ibu kota baru-baru ini mengundang kecaman hebat netizen.
Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan masyarakat Muslim yang berpuasa.
Pengguna Facebook yang menggunakan akaun nama Mrym Lee mendedahkan dirinya pada ketika itu dalam keadaaan ‘uzur’ termasuk seorang rakan non-Muslimnya.
Mereka telah makan di restoran Chicken Rice Shop, Quill City Mall di ibu negara pada pukul 12.40 tengah hari, kelmarin.
Ketika sedang makan di restoran itu, dia telah ditegur oleh beberapa individu termasuk pengurus restoran itu sendiri yang dilihat berang sambil menyoalnya terlebih dahulu disebabkan imej bertudungnya.
Menurut gadis itu, dia cuba memahamkan pengurus tersebut kenapa dia terkecuali, namun beliau menyifatkan tindakan Mrym sebagai ‘menghina agama’.
“Encik, makan dan minum bukan salah di sisi undang-undang,” Mrym menjawab selamba.
“Ye lah tapi awak buat macam ini mencalarkan imej Islam,” kata pengurus itu kepada Mrym.
“Saya kemudian menjelaskan kepada pengurus itu bahawa dia gagal menghormati saya sebagai pelanggan, namun beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa boleh menjatuhkan hukuman jika menjual makanan kepada orang Islam pada bulan Ramadan,” tulis Mrym.
Jelas Mrym, lima minit kemudian, seorang pelanggan Melayu yang berada di restoran itu turut mempersoal haknya untuk makan di khalayak ramai.
“Abang tahu perempuan ada masalah. Apa hak kau nak makan kat tempat umum ni, dik.”
Tambah Mrym, ia lebih menyedihkan apabila mereka menghukum wanita kerana biologi mereka.
“Tiada apa masalah langsung dengan wanita yang tidak boleh puasa,” jawab Mrym terhadap kecaman lelaki itu.
Mrym berkata pengawasan terhadap kepercayaan peribadi dan ritual orang lain merupakan satu mentaliti yang membimbangkan.
“Berilah perhatian kepada isu yang lebih besar. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Tinggalkan amalan agama sebagai peribadi orang, sokong satu sama lain untuk berbuat baik, barulah kita akan melihat kemajuan,” ujar Mrym yang seakan menyeru kepada netizen.
Mrym yang tidak berpuas hati akibat beberapa teguran yang diterimanya lantas menjalankan eksperimen sosial berhubung situasi ‘gangguan’ tersebut di laman Twitter .
Hasilnya, 60 peratus dari 878 orang berpendapat bahawa adalah tidak menjadi satu kesalahan makan secara terbuka bagi umat Islam di bulan Ramadan.
Malah 60 peratus juga mengatakan tidak makan atau minum di tempat awam kerana menghormati orang Islam yang lain.
Netizen di media sosial pula rata-ratanya menempelak sikapnya yang tidak mencerminkan tuntutan Islam yang sebenar di mana mendahulukan ‘akal berhujah’ tanpa melihat agama.
“Please stop. Yang u nyatakan tu, semua dalam keadaan uzur. Bodohlah kalau nak marah orang tua, yang tengah sakit untuk makan. Bukan u je sorang perempuan period. Kitaorang pun period.
“And by rights, tengok la siapa je dominate Twitter. Jenis feminist, free hair semua tu, yang jenis I tak pakai tudung tapi hati I suci. Lagi bagus dari jadi hipokrit.
“MasyaAllah terang-terang dalam Surah An Nisa mewajibkan kamu melabuhkan tudung hingga menutup dada. Sebab tu semua setuju,” tulis Aliah Athirah.
“Kalau macam tu, bolehlah I bawak my mom yang bertudung masuk Zouk! Dia bukan minum arak pun, dia suka muzik. Lagipun ajaklah lepas dia solat Isyak,” tulis Izwan Mohd. Isa.
“Ohh for ur information Mrym, Lee patient saya di hospital pun kadang-kadang malu nak makan depan staff di bulan puasa, sebab nak hormat staff kesihatan yang puasa sanggup tarik tirai dekat katil sebab nak respect…
“Sedangkan orang yang sakit pun malu nak makan kat public, ni awak yang sihat walafiat cuma period je tu pun nak makan kat public,” kata Rara Safwan. –Kedahnews.com