Dengan cemeti yang digunakan untuk menyebat kuda, sekumpulan penunggang bersaing secara ganas untuk mendapatkan bangkai anak lembu atau kambing, sebelum mengheretnya ke kawasan gol.
Inilah buzkashi atau kadang kala disebut kokpar kupkari antara sukan paling diminati di Afghanistan.
Satu kejohanan besar diadakan baru-baru ini di Mazar-i-Sharif, bandar di utara Afghanistan, bagi meraikan sambutan Tahun Baru Parsi.
Sukan kebangsaan Afghanistan itu, yang boleh dianggap polo versi ganas, bukan untuk mereka yang lemah semangat.
Ia memerlukan kepantasan dan keberanian. Ratusan penunggang kuda yang dikenali sebagai chapandaz akan berebut untuk mendapatkan bangkai berkenaan.
Penunggang yang berjaya ‘menyambar’ bangkai yang berat itu akan meluru merentasi padang, mengeliling tiang dan meletakkan bangkai itu di dalam bulatan kecil untuk mendapatkan satu mata.
Permainan ini, yang diharamkan ketika pemerintahan rejim Taliban pada 1996 hingga 2001, boleh dianggap ujian untuk melangkah ke alam dewasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki Afghanistan.
Tiada seorang pun wanita terbabit dalam permainan ini. Mereka juga tidak dilihat dalam kalangan penonton. Malah, kuda yang digunakan juga semuanya jantan.
“Semua capandaz yang anda lihat di sini bekas pejuang mujahidin,” kata Abdullah Quraishya, bekas pemain buzkashi.
“Mereka mulanya berperang menentang penjajahan Soviet pada 1980-an sebelum memerangi Taliban.
“Kini, kawasan ini kembali aman,” katanya merujuk kepada suasana tenang di wilayah Balkh, yang ibu negerinya Mazar-i-Sharif.
Permainan ini yang biasanya diadakan pada waktu terluang musim sejuk, dipercayai berasal dari Asia Tengah, kira-kira pada abad ke-13, sewaktu era Genghis Khan.
Menurut cerita lama, ia mulanya dimainkan oleh pahlawan, menggunakan mayat musuh yang dikalahkan.
Sukan itu masih mempunyai ramai peminat, khususnya dalam kalangan etnik Uzbek, Turkmenistan dan Tajikistan yang menetap di utara Afghanistan.
Pemain Buzkashi sudah pasti penunggang kuda yang berbakat kerana mereka perlu menyeimbangkan badan ketika menunggang kuda dalam keadaan laju dan bertahan walaupun cuba ditolak jatuh oleh pihak lawan.
Pemain sukan ini bersaing untuk kemenangan peribadi dan juga pasukan.
Bagi penunggang profesional seperti Hassan Pahlawan, buzkashi adalah mata pencariannya.
Mereka yang berjaya, memasukkan bangkai berkenaan di dalam bulatan untuk mencatatkan mata, biasanya memperoleh hadiah berbentuk wang, kadang kala mencecah ribuan dolar jika perlawanan itu ditaja individu kaya. -Agensi