Gee Tangguh Lagi Perkahwinan, Tunggu Masa Sesuai

Fauziah Latiff
SEJAK tahun lepas, penyanyi terkenal Fauziah Latiff pernah mengumumkan bakal mengakhiri zaman solo tidak lama lagi.

Bagaimanapun, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, masih lagi tiada berita perkahwinan Fauziah dilaporkan.

Tampil menjelaskan hal itu, Fauziah mengakui terpaksa menangguhkan perkahwinannya sekali lagi.

Menurut Fauziah, tarikh perkahwinannya tidak dapat ditetapkan kerana masing-masing masih sibuk dengan urusan kerjaya.

Namun, Fauziah juga telah menjelaskan mereka juga sebenarnya masih dalam fasa untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam.

“Memang kami sepatutnya berkahwin, namun apa daya kerana belum menemui masa sesuai. Saya tidak mahu terburu-buru dan kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.” katanya, memetik Harian Metro.

Fauziah, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, tetapi kedua-duanya menemui jalan penceraian.

Kali pertama Fauziah berkahwin bersama Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail berlangsung pada 1992 dan bercerai selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga.

Selepas lima tahun solo, Fauziah kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Johan Indot di London.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki Jeffri Joaquim, 18, dan Jeremy Jay, 16 sebelum bercerai pada tahun 2007. -Kedahnews.com