Gunung Pulai |
BALING - Usaha penduduk di sini untuk menyelamatkan Gunung Pulai daripada menjadi mangsa operasi kuari mungkin bakal berakhir tanpa jalan penyelesaian.
Difahamkan projek berkenaan telah diluluskan dan kini hanya menunggu masa untuk memulakan operasi.
Kebimbangan penduduk yang selama ini khuatir operasi itu menjejaskan sumber pendapatan serta mendatangkan ancaman keselamatan kepada mereka juga dilihat bakal menjadi realiti.
Selain risiko menyebabkan habuk kuari dari kawasan projek mengancam kesihatan setiap penduduk, pendapatan utama sebahagian penduduk yang bergantung kepada sumber seperti baja pendapatan dari baja tahi kelawar, pokok paku aji dan lain-lain juga akan terjejas.
Malah, beberapa gua yang terdapat di Gunung Pulai juga berkemungkinan besar akan menerima kesannya.
Landskap Gunung Pulai bakal berubah
Sebelum ini, beberapa bantahan aman diadakan oleh penduduk dari sekitar kawasan Pulai bagi mengelakkan gunung itu dari dicerobohi.
Namun tindakan itu mungkin tidak memberi sebarang kesan sekiranya pihak-pihak terlibat tetap berdegil dan berkeras untuk meneruskan 'pencerobohan'.
Persoalannya, apakah operasi berkenaan diluluskan dengan begitu mudah oleh kerajaan negeri tanpa mengambil tahu kesan-kesan negatif kepada penduduk?
Menurut satu sumber, operasi berkenaan sebelum ini sudah diluluskan pada zaman kerajaan pakatan, namun dihentikan selepas menerima bantahan oleh penduduk kampung.
“Kerajaan pada waktu itu akur dengan bantahan penduduk dan operasi berkenaan juga dihentikan atau mungkin juga dibatalkan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, cubaan untuk 'menghidupkan' kembali projek itu cuba dibuat pada zaman pimpinan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun turut gagal.
“Namun kini secara tiba-tiba operasi itu akan bermula semula tidak lama lagi dan ia dijangka akan memberi kesan sampingan kepada penduduk.
“Gunung Pulai mempunyai khazanah dan sejarah tersendiri, apabila kuari ini beroperasi sudah tentu ia akan merubah landskap asal dan menghilangkan kesan sejarah tersendiri,” katanya.
Individu ternama disyaki jadi dalang
Menurut sumber itu lagi, beberapa individu ternama dan berpangkat disyaki terlibat secara langsung dengan projek berkenaan.
Malah katanya, ada individu berpengaruh turut didakwa menerima sejumlah imbuhan agar tidak membantah operasi tersebut.
“Pihak-pihak ini juga disyaki memujuk segelintir penduduk di kawasan sekitar supaya tidak membantah apabila syarikat itu memulakan operasi yang diluluskan,” katanya yang enggan mendedahkan nama mereka terlibat atas faktor keselamatan.
Minta SPRM bertindak
Sumber itu menambah, diharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap masalah ini.
“Saya mohon pihak kerajaan melalui SPRM membuat siasatan bagi menjaga masa depan dan khazanah Gunung Pulai daripada musnah disebabkan kuari.
“Saya juga menggesa badan bukan kerajaan tampil memberikan pandangan dan mengadakan bantahan demi penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali juga mendakwa, terdapat segelintir penduduk kampung disogok sejumlah bayaran untuk bersetuju dengan operasi itu.
Menurutnya, bayaran itu diserahkan dalam satu majlis kenduri yang diadakan di salah sebuah kampung oleh pihak terbabit.
“Penduduk perlu isi nama dan butiran peribadi lain, kemudian dibayar duit berjumlah puluhan ringgit untuk setiap seorang.
“Kenduri itu diadakan pada tahun lepas dan ia dihadiri agak ramai penduduk kampung, tauke kepada syarikat itu pun ada sekali,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek itu tidak dipersetujui oleh ramai penduduk kampung kerana bakal merosakkan ekosistem alam dan tumbuhan.
“Selain itu, jika projek ini dilaksanakan, habis batu-batu yang ada di Gunung Pulai akan mengalami kerosakan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian