Sukarelawan melibatkan pelajar dan guru bergambar bersama sebelum bertolak mengedarkan barangan keperluan dan wang tunai kepada keluarga yang memerlukan. |
SUNGAI PETANI – Sebanyak 30 keluarga daif sekitar Sungai Lalang, di sini diraikan dengan pemberian barangan keperluan dan wang tunai hasil kutipan derma serta sedekah guru Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya.
Pengarah Program, Hazlee Hassan berkata, pemilihan berdasarkan keadaan keluarga dan tahap kemiskinan yang dihadapi di mana rata-ratanya adalah terdiri daripada keluarga pelajar yang bersekolah di SMK Amanjaya.
Menurutnya, aktiviti penganjuran Panitia Pendidikan Islam dan Pembimbing Rakan Sebaya itu bertujuan memenuhi matlamat program bertemakan Hulurkan Tangan Ringankan Beban bagi sama-sama membantu keluarga pelajar dalam menyambut lebaran.
“Seramai 30 pelajar dikenal pasti terdiri daripada keluarga fakir miskin diberikan bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai berjumlah RM100 bagi setiap rumah.
“Antaranya yang tinggal di sekitar kampung dekat Sungai Lalang, Lembah Permai, Amanjaya dan beberapa taman perumahan kos rendah di sini,” katanya.
Hazlee berkata, latar belakang penerima sudah pun diselidik di mana terdiri daripada kategori miskin tegar dan daif.
“Saya merakamkan penghargaan terima kasih atas keprihatinan guru Islam yang peka dan mengambil berat terhadap golongan daif dan memerlukan.
“Insya-ALLAH, program sama akan diteruskan pada masa akan datang semasa perayaan berlainan termasuk Deepavali dan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Hadir sama mengikuti aktiviti berkenaan, Pengetua, Ismail Othman.
Sumber: Sinar Harian