Mad Husni menunjukkan pintu yang digunakan suspek untuk menyamun pembantu tabika tersebut. |
KULIM - Seorang pembantu sebuah tabika Kemas di Padang Meiha, di sini berdepan detik cemas apabila disamun lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Menurut sumber, mangsa berusia 53 tahun berasal dari Labu Besar itu tiba di pekarangan tabika berkenaan dan melakukan tugas rutin kira-kira jam 7.15 pagi secara bersendirian.
Bagaimanapun, ketika sedang melakukan persediaan sebelum memulakan kelas, secara tiba-tiba dia didatangi seorang suspek bersenjatakan parang yang bertindak melarikan beg tangan milik mangsa.
"Suspek dipercayai masuk melalui pintu depan dan cuba menakutkan mangsa menggunakan parang untuk melakukan samun.
"Suspek berjaya melarikan beg tangan mengandungi kad pengenalan, telefon dan wang tunai RM80 serta sebuah speaker komputer," katanya.
Difahamkan, seorang lagi rakan suspek sedang menunggu di atas motosikal di luar pagar tabika.
Dalam pada itu, jiran mangsa, Mad Husni Mad Saad, 42, berkata, sebaik sahaja menerima laporan, dia bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sedang mengalami trauma.
“Saya pergi ke tempat kejadian jam 8 pagi dan dapati mangsa sedang ketakutan ditenangkan rakan-rakannya.
“Saya juga sempat memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah lagi rumah jiran dan berjaya melihat gambaran suspek iaitu dua lelaki menaiki motosikal berada di kawasan tabika berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan keterangan mangsa diambil untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian