Hafiz Hamidun Selamat Jalani Pembedahan Paru-Paru

Hafiz Hamidun
PENYANYI dan ahli perniagaan, Hafiz Hamidun yang sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke wad hospital setelah mengalami demam panas pada Ahad lalu, akhirnya selamat menjalani pembedahan paru-paru.

Berita itu dimaklumkan oleh pelantun lagu Janjiku ini menerusi laman Instagramnya, petang kelmarin.

Hafiz menjalani pembedahan bagi membuang air dalam paru-paru setelah disahkan penghidap penyakit pneumonia.

Menurut Hafiz, penyakit itu berpunca daripada kekerapan dirinya bercuti ke luar negara tanpa pengambilan makanan tambahan selain kerap menjalani aktiviti di luar.

“Baru-baru ini saya bercuti ke Afrika Selatan dan cuacanya sangat sejuk. Saya pula mengambil mudah perkara itu dengan hanya memakai jaket biasa, bukannya baju sejuk.

“Tambah pula cuaca sekarang ini tidak menentu, pengambilan makanan tambahan amat penting agar tubuh badan mempunyai antibodi yang kuat,” ujarnya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Hafiz turut memohon kepada peminat agar dapat mendoakannya segera sembuh. -Kedahnews.com