Izat Bukhary |
KUALA KANGSAR – Ibarat gempar saja lebih, tidak seperti yang dihebohkan sebelum ini, hanya seorang masuk bertanding sebagai calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Beliau sebelum ini dilaporkan pernah bertanding dalam PRK Pengkalan Kubur pada (2014) dan Chempaka (2015) kedua-duanya di Kelantan dengan misi yang tidak jelas iaitu membangkitkan isu remeh GST terhadap buah kurma.
Bagaimanapun tidak pula diketahui kenapa buah tamar itu yang menjadi sasaran walhal ratusan produk pengguna lain langsung tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak diperkenal pada 1 April 2015 lalu.
Izat Bukhary, 49, juga pernah menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Umum 2013 lalu di kerusi Pengkalan Kubor namun kalah teruk sekali pun menafikan dirinya ditaja mana-mana pihak berkepentingan untuk ‘memecah’ undi.
Selain itu, bapa kepada tujuh orang anak yang juga merupakan seorang bekas pensyarah berkata, beliau akan ‘turun padang’ dan lebih selesa berjumpa terus dengan penduduk secara individu berbanding kaedah ceramah politik.
Seorang lagi yang disebut-sebut konon bakal bertanding sebagai wakil bebas, ahli UMNO Pandan, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail mengumumkan tidak jadi bertanding untuk PRK Kuala Kangsar, pagi Ahad ini.
“Saya masih belum lagi tergamak untuk meninggalkan mahupun menikam UMNO yang banyak berjasa kepada saya sendiri, bangsa Melayu dan negara keseluruhannya,” kata beliau yang dipetik oleh pelbagai portal berita tempatan.
“Selepas dengar nasihat beberapa orang lama dalam UMNO supaya tidak meneruskan niat untuk bertanding, maka saya pun membuat keputusan pada saat akhir dengan tidak meneruskan niat menjadi calon bebas,” kata Syed Rosli.
Manakala bekas calon bebas PKR Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohd. Zan turut menarik diri waima sudah tiba di pusat penamaan dengan mengoyakkan borang pencalonan selepas pencadang dan penyokongnya tidak muncul.
Tanpa Abu Backer dan Syed Rosli, PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN ditentang oleh wakil PAS, PAN dan Izat Bukhary sendiri sebagai calon bebas yang sinonim dengan lambang pen.
Manakala PRK Sungai Besar, tiada calon bebas yang bertanding setelah pusat penamaan calon ditutup apabila hanya BN, PAS dan PAN tampil menyerahkan borang pencalonan masing-masing. -Kedahnews.com