"Harum Manis Lawan Harum Manis" Di PRK Sungai Besar?


PASIR PUTEH - Dewan Ulamak Pas Selangor berasa kesal apabila pemilihan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar menggunakan kaedah 'pencuri lawan pencuri'.

Perkara itu disuarakan perwakilannya, Nik Baki Nikmat sambil menegaskan masih ramai pimpinan profesional dan ulama dalam Pas yang berwibawa boleh diketengahkan untuk mewakili parti Islam itu dalam mana-mana pilihan raya.

"Selangor merasakan ada sesuatu yang kalau boleh dewan ulamak ambil ketegasan dengan calon PRK, mungkin Selangor terasa dari sudut ada unsur pemilihan calon yang menggunakan kaedah pencuri lawan pencuri atau 'harum manis lawan harum manis'.

"Ramai pimpinan kita profesional dan ulama, kita terima dan sentiasa terbuka mereka jadi pemimpin, dan ulama sokong, kita mahu profesional tulen dalam Pas, bukan cetak rompak," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulamak Pas dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas ke-55 di Sweet Beach Resort, di sini, semalam.

Nik Baki juga berkata, tokoh ulama perlu ditonjolkan dalam masyarakat untuk membawa perubahan dan namun ia perlu dilakukan secara konsisten.

"Selangor ingin menegaskan bahawa perlu diseminarkan perubahan, bimbang ada pemimpin Pas ghairah buat berubah, akhirnya semua nak ubah termasuk presiden.

"Ada tokoh Pas bawa diri (keluar parti) kerana ghairah bawa perubahan," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian