Hotel Adya Lantik Hafiz Al-Quran Jadi Pegawai Agama Khas


LANGKAWI – Adya Hotel Langkawi di Kuah yang merupakan hotel milik kerajaan negeri menerusi Permodalan Kedah Berhad menjadi hotel pertama di negara ini yang mewujudkan jawatan rasmi Pegawai Agama Khas bagi memastikan hotel tersebut sentiasa mematuhi piawaian syariah.

Pengerusinya, Nor Saidi Nanyan berkata ia disandang lulusan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengawal selia dan memantau pelaksanaan konsep syariah sepenuh masa di hotel berkenaan.

“Kita melantik seorang hafiz untuk menerapkan dan mengukuhkan lagi nilai-nilai keislaman yang ada di hotel ini,” katanya.

Nor Saidi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah berkata hotel bertaraf empat bintang itu menerima pengiktirafan mematuhi syariah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lepas dan menerapkan nilai syariah sejak mula beroperasi pada Januari 2015. – BERNAMA