Ibadah Penduduk Kampung Sg Siput Hulu Lebih Selesa Ramadhan Ini


KUALA KANGSAR - Sumbangan 3 buah penghawa dingin kepada Surau Ibtidaiyah hari ini memberi kelegaan bagi para penduduk Kampung Sungai Siput Hulu apabila dijangka memberikan keselesaan kepada mereka mengerjakan ibadah, khususnya bersempena Ramadhan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir ke kampung mereka hari ini berbesar hati untuk meluluskan permintaan penduduk kampung sejurus selepas dipohon.

"Lulus, akan diuruskan untuk dipasang di surau ini segera, 3 buah penghawa dingin," katanya kepada wakil penduduk kampung berkenaan di sini sebentar tadi.


Kelulusan berkenaan mengembirakan penduduk kampung tersebut yang turut bertuah terpilih dalam program CSR anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara (ABMU).

Program CSR berkenaan membabitkan bantuan baikpulih dan menyelenggara kemudahan surau tersebut yang merupakan sebahagian dari Program Latihan Praktikal Personel Binaan yang disempurnakan Fadillah.


Menurut Menteri Kerja Raya itu, program CSR seumpama itu telah banyak kali diadakan di seluruh negara dan program di surau berkenaan adalah yang kedua di dalam parlimen ini.

"Di Kuala Kangsar kita akan buat dua (program CSR), di Perak setajat ini sudah 3 (program CSR), di semua negeri kita buat," jelasnya lanjut.

Menurut Fadillah, program berkenaan menekankan pendekatan dari 3 sudut merangkumi nilai murni untuk memberi khidmat kepada masyarakat, memberikan latihan praktikal kepada pelatih-pelatih ABM dan penyertaan persatuan kontraktor untuk berkongsi kepakaran serta memberi sumbangan. - Kedahnews.com