Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk. Gambar kecil: Muhammad Syahir Hakimi. |
ALOR SETAR - Seorang ibu tidak sangka gelagat anak lelakinya yang enggan membeli baju baharu sempena Aidilfitri merupakan petanda anaknya itu akan pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.
Azhana Darus, 43, berkata, anaknya Muhammad Syahir Hakimi Mat Zali, 17, sekadar mencuba sehelai jubah berwarna coklat, namun tidak membelinya ketika bersama arwah di Tanah Merah, Jitra, sebelum kejadian.
“Ketika melihat baju di kedai lain, tiba-tiba hujan lebat menyebabkan kami memutuskan untuk pulang. Namun sebelum itu, saya ada membelikan arwah sehelai seluar warna hitam,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, arwah sudah memberitahu yang dia tidak mahu baju baharu untuk dipakai pada hari raya, sebaliknya hanya mahu membeli baju terpakai.
“Ayahnya sudah beri duit untuk arwah beli baju raya sejak cuti sekolah lepas, namun arwah masih tidak membelinya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, Muhammad Syahir Hakimi maut dalam kemalangan di Jalan Anak Bukit, Titi Gajah, Kepala Batas, apabila kereta Toyota Corolla dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan serta tiang elektrik.
Pelajar Kolej Vokasional Alor Setar itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selain patah tangan dan kaki kanan.
Manakala, rakan baik mangsa, Muhammad Nazirul Izzat Ahmad Nozlan, 17, patah tangan kanan dan luka di kepala kini dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.
Mengimbas kembali detik terakhir berbual dengan anaknya itu, Azhana berkata, anak kedua daripada lima beradik itu memohon izin untuk keluar menonton perlawanan bola sepak Euro 2016 bersama rakannya.
“Arwah keluar dari rumah jam 11.45 malam, tidak lama selepas itu, saya diberitahu Syahir maut dalam kemalangan,” katanya.
Sementara, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketika kejadian dua remaja itu dalam perjalanan dari arah Kepala Batas menghala pusat bandar Alor Setar.
“Setiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar tiang elektrik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian