"Ibu Tetap Tabah Walaupun Ditohmah" – Wan Emir Astar


KUALA KANGSAR – Anak sulung kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid, berkata ibunya tetap tabah dalam mendepani pelbagai tohmahan dilemparkan di media sosial.

Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 26, yang menggalas tanggungjawab besar untuk berkempen bagi pihak ibunya yang masih dalam edah itu berkata mereka sekeluarga tetap utuh bersatu dalam menghadapi apa jua ujian.

“Kami hanya perlu menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlakon untuk menjadi orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Beliau yang mengikuti pengajian dalam bidang MArch Architecture & Design di Universiti Kingston, London sedang bercuti sehingga Ogos ini.

Wan Emir Astar berkata seluruh anggota keluarganya masih amat merindui Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang genap sebulan pemergiannya selepas terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar ialah penyandang kerusi itu sebelum ini.

“Apa sahaja ujian (yang dihadapi), kami hanya perlu ikhlas menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlakon kerana seperti arwah papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar) yang sentiasa ikhlas dalam setiap perbuatannya.

“Memang kadang-kala terasa seperti arwah akan kembali sebab kami sudah terbiasa ditinggalkan dahulu oleh arwah untuk menjalankan tugasnya,” kata Wan Emir Astar.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan calon Bebas.

PAS diwakili Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Amanah oleh Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Nama empat calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria selepas proses penamaan calon PRK itu selesai hari ini.

Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 7 Mei lepas terdapat sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu 18 Jun ini.- BERNAMA