IPD Kota Setar Beroperasi Cegah Curi Motorsikal


ALOR SETAR - Aduan orang ramai mengenai kecurian motosikal yang makin meningkat mendorong bu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melancarkan Ops Bendung hampir dua minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, beberapa lokasi dikenal pasti sebagai tumpuan penjenayah dan operasi diadakan pada waktu siang dan malam berdasarkan analisis laporan yang diterima.

Beliau berkata, sejak dilancarkan 27 Mei lalu, kes kecurian motosikal di daerah itu menurun 38 peratus berikutan operasi berterusan oleh 18 anggota dan dua pegawai.

“Sebelum Ops Bendung, 14 kecurian motosikal dicatatkan dan menurun kepada sembilan kes selepas seminggu diadakan.

“Kita turut  menjalankan 'snap check' sehingga anggota bertugas lewat pagi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, bilangan anggota akan ditingkatkan untuk membendung kejadian jenayah walaupun umat Islam mula berpuasa hari ini.

“Kita akan meneruskan operasi ini sepanjang Ramadan dan memberi fokus di kawasan masjid, bazar dan tempat tumpuan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar meletak motosikal masing-masing di kawasan yang dikhaskan untuk mengelak menjadi tumpuan penjenayah.

Sumber: Sinar Harian