Kemeriahan Pesta Bola Sepak Euro 2016 yang bakal tiba semakin terasa. Kemungkinan ramai yang teruja untuk berjaga malam bagi menyaksikan pasukan pilihan mereka. Namun sedar ataupun tidak, adakah kita juga merasa teruja untuk beribadat pada malam-malam Ramadan ini? Berapa ramai yang membuat persiapan bagi menemui bulan istimewa ini? Atau mungkin ramai yang lebih teruja membuat persiapan hari raya?
Kaum Muslimin diajak berazam memenuhi Ramadan ini dengan pelbagai aktiviti ibadah bagi meraih ganjaran takwa yang hanya datang setahun sekali. Semua ini dapat dilakukan dengan mula memasang niat untuk berpuasa bersungguh-sungguh selain mempertingkatkan ibadah dan amalan kebajikan lain.
Malah niat yang ikhlas kerana Allah SWT juga berupaya menjadi motivasi untuk para Muslimin berjihad menahan lapar dan dahaga di siang hari serta qiamullail di waktu malam. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:
“Barang siapa berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Masyarakat Islam seterusnya diajak berazam untuk mempertingkatkan kualiti puasa. Berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Lebih daripada itu, bagi meraih ganjaran puasa tertinggi.
Berazamlah untuk memenuhi Ramadan dengan meningkatkan kualiti ibadah wajib seperti solat supaya beroleh ganjaran 70 kali ganda lebih daripada bulan-bulan lain. Kewajipan lain seperti menutup aurat juga tidak patut diabaikan. Apalah erti seseorang berpuasa jika hanya mengelak daripada makan dan minum tetapi tidak solat dan tidak menutup aurat.
Perbanyakkan juga melakukan ibadah sunat yang dilipat-gandakan pahalanya seperti melakukan ibadah wajib. Antaranya dengan solat berjemaah setiap waktu, beriktikaf di masjid memperbanyak bersedekah dan membantu golongan memerlukan. Berazamlah untuk bersolat tarawih setiap malam mudah-mudahan terpilih mendapat nikmat beribadah di malam al-Qadar yang dirahsiakan daripada pengetahuan manusia.
Persiapan mental dan keimanan yang tinggi juga penting untuk mengharungi Ramadan. Hanya individu yang kukuh iman dan benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah SWT mampu berjihad bersungguh-sungguh melawan keinginan hawa nafsu. Lebih membimbangkan apabila terdapat individu Muslim yang sengaja enggan berpuasa dan tanpa segan silu makan di khalayak ramai.
Dalam hal ini golongan peniaga secara khususnya diharap tidak terpalit dengan dosa apabila terlibat mempermudah golongan culas berpuasa untuk makan dan minum sesuka hati. Peniaga bazar Ramadan sebagai contohnya diharap tidak terlalu awal memulakan perniagaan malah jangan ada peniaga makanan yang berselindung di sebalik pintu premis yang tertutup tetapi di dalamnya ramai yang makan dan minum tanpa sekelumit rasa bersalah.
Apalah ertinya berpuasa tetapi dalam masa sama terlibat pula mempermudah orang lain tidak berpuasa. Dalam hal ini penulis mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan peraturan supaya peniaga bazar Ramadan hanya boleh memulakan perniagaan selepas waktu Asar bagi mengekang gejala ingkar berpuasa.
Dengan cara ini golongan peniaga tidak terlalu awal menyediakan juadah untuk dijual dan mengelakkan makanan cepat basi.
Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559 misalnya memperuntukkan:
“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan-(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau (b)secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.
Bagi merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki, sebahagian gaji dan pendapatan bulanan boleh diperuntukkan untuk infak ke jalan Allah SWT. Bersedekah, memberi makan orang berbuka puasa dan membantu golongan memerlukan termasuk amalan yang dituntut dan besar pahalanya khusus di bulan Ramadan.
Sehubungan itu, bonus tahunan Ramadan sebagai ganjaran untuk semua Muslimin perlu direbut. Ini dapat diusahakan dengan berazam bersungguh-sungguh memenuhi Ramadan kali ini dengan segala macam ibadah.
Jika ini tidak berjaya dilakukan kemungkinan kita terlepas bertemu Ramadan sekali lagi untuk beribadah sekali gus mengumpul ganjaran berlipat kali ganda yang tiada pada bulan-bulan lain.
*MOHD. ALI MUHAMAD DON, PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Kampus Pasir Gudang, Johor Darul Takzim/Utusan