#Islam: Masyarakat Muslim Zaman Ini Kian Ketinggalan

“DAHULU umat Islam mampu mencipta pelbagai kemajuan, mereka menggubal undang-undang, membentuk ketamadunan manusia, mencipta sistem kalendar dan sistem pengurusan harta sehingga menjadi perintis di seluruh dunia,” kata Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Sehinggakan, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu berkata, segala inovasi dan kreativiti pemikiran umat Islam yang mencecah ribuan tahun itu terus relevan untuk diguna pakai, malah semakin berkembang sehingga hari ini.

Namun malangnya, tokoh yang mendapat gelaran ulama Mujtahid Era Moden itu meluahkan, ternyata segala kehebatan yang dimiliki umat Islam terdahulu telah terhenti, malah jauh berbeza jika dibandingkan dengan umat Islam masa kini.

“Kita (umat Islam) bangga mempunyai kereta api dan kapal terbang sendiri, tetapi hakikatnya itu semua bukan hasil rekaan kita. Sebaliknya mereka (orang Barat) yang mencipta dan mengeksport kepada kita.

“Benar, kita mampu untuk membeli segalanya, termasuk barangan yang paling mahal dan canggih untuk kegunaan negara kita atau kepunyaan sendiri seperti kereta dan barangan mewah, tetapi kita masih belum dapat menandingi mereka,” katanya ketika menyampaikan ceramah ekonomi Islam di Qatar.

Yusuf berkata, jika dibuat perbandingan pendapatan seluruh negara Arab di dunia ini masih belum mencukupi dengan kekayaan diperoleh negara besar di Eropah.

“Mengapa ini berlaku, sedangkan negara Arab merupakan negara pembekal dan pengeluar minyak dunia? Ini kerana kita tidak bekerja bersungguh-sungguh.

“Jika kita bekerja, kita tidak bekerja sebagai seorang yang bersikap profesional.

“Satu kajian pernah dilakukan mengenai waktu bekerja bagi kakitangan awam di beberapa negara Arab. Hasil bancian yang dijalankan itu mendapati secara purata hanya 27 minit sahaja masa digunakan sepenuhnya bagi setiap pekerja setiap hari.

“Masa selebihnya adalah digunakan untuk keluar minum, membaca surat khabar atau pergi ke hulu dan ke hilir. Malah, dalam kajian sama mendapati terlalu kecil dapatan menunjukkan pekerja yang bekerja cukup pada waktunya,” jelasnya.

REALITI DI BARAT

Berkongsi pengalaman ketika menghadiri satu persidangan antarabangsa di Jerman, Yusuf berkata, rutin harian masyarakat di negara majoriti bukan beragama Islam itu dilihat lebih efektif dan profesional.

“Rombongan kami tiba di lapangan terbang pada waktu pagi. Sepanjang perjalanan ke lokasi persidangan, saya lihat lalu lintas agak lengang. Saya bertanya dengan pemandu kereta yang kami naiki itu, mengapa jalan raya di sini tidak ramai orang, tidak sibuk seperti di negara kami?

“Lelaki itu menjawab: “mereka semua sedang bekerja”. Dan apabila hendak pulang daripada persidangan ke hotel kira-kira pukul 7 malam, saya melihat, jalan juga masih lengang. Saya bertanya lagi kepada pemandu itu: “ke mana mereka pergi?”

“Lelaki itu menjawab: “mereka telah pulang dari tempat kerja dan kini sedang berehat di rumah. Mereka semua makan malam, menonton berita dan mereka hendak tidur kerana perlu bangun awal pada esok pagi untuk kembali bekerja,” ujarnya.

Yusuf berkata, melihat contoh tersebut, sukar bagi umat Islam untuk menandingi kemajuan dan kekayaan yang diperoleh sebagaimana negara di Barat jika terus bersikap seperti kini.

“Bagaimana golongan Yahudi boleh unggul dan maju daripada kita walaupun bilangan mereka sangat sedikit? Ini kerana mereka sangat cemerlang dalam menuntut ilmu, mengkaji teknologi dan menerusi kekuatan yang ada, mereka melakukan bersungguh-sungguh dalam bekerja.

“Sedangkan kita terus berasa selesa dalam lingkaran sekeliling tanpa ingin berusaha. Islam juga mengajar kita untuk bekerja bersungguh-sungguh dan bersikap profesional dalam tugas kerana bekerja juga merupakan ibadah.

“Di India juga, mereka telah berjaya mencipta kereta, malah kapal terbang sendiri, berbanding kita yang terus berbangga mengimport produk dari luar dan hanya berperanan sebagai pusat pemasangan untuk diberi jenama sendiri,” katanya.

Sumber: Utusan