#Islam: Menghantar Isyarat Jelas Pada Ramadhan Ini


RAMADAN datang lagi. Tidak kecil jumlahnya umat Islam yang kini menikmati keindahan berpuasa Ramadan di ta­nah suci Mekah dan Madinah. Namun sungguh pun suhu di sana panas membara tetapi cabaran berpuasa di negara kita mungkin lebih besar.

Di Mekah atau Madinah hampir setiap individu berpuasa atau menghormati saudaranya yang berpuasa. Di Malaysia umat Islam berpuasa dengan dikelilingi begitu ramai orang yang tidak berpuasa.

Selain berpuasa, ramai umat Islam yang mengambil peluang sepanjang bulan yang mulia ini untuk berniaga di bazar Ramadan. Ada yang berniaga dengan lesen sah dan ada pula terpaksa bergelandangan mencuri-curi tapak untuk bergelar usahawan sementara. 

Ada hari yang nasibnya baik lalu dapatlah keuntungan yang tidak seberapa dan ada harinya mereka ini dihalau oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau oleh Jawatankuasa Peniaga Bazar Ramadan.

Sebenarnya bazar Ramadan jika disusun atur dengan sempurna dan mengambil kira kehendak syariah boleh menjadi syiar keindahan agama Islam kerana bukan hanya dikunjungi oleh umat Islam bahkan oleh orang bukan Islam.

Jika diamati senario dan cabaran yang dilalui umat Islam dalam bulan Ramadan sebenar-nya begitu hampir untuk menggambarkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam dalam negara kita hari ini.

Kurangnya hormat kepada letak duduk agama Islam sebagai agama Persekutuan oleh sesetengah pihak menyebabkan apa sahaja yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam dilabel sebagai melanggar hak asasi manusia, kolot dan tidak bertamadun. 

Sebaliknya perbuatan memperlekeh status agama Islam, menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan institusi awam yang didukung oleh orang Melayu akan dianggap sebagai perjuangan yang hak. Lebih menyedihkan orang Melayu sendiri pun memainkan peranan yang tidak sedikit dalam penghakisan itu.

Terkadang kita ini sibuk menya­lahkan puak Hamas dan Fatah yang susah sangat untuk bersatu di Pa­lestin hingga ‘menggalakkan’ rejim Zionis mengganas, namun sedar tak sedar kita di sini pun apa kurangnya.

Kita ini berbelanja di bazar Ramadan yang sama, bertadarus dengan ayat al-Quran yang tidak ada bezanya, kita berbuka dalam naungan doa yang serupa lalu kita bersujud dalam solat tarawih kepada Tuhan yang sama namun susah sangat untuk bersatu kerana wadah politik yang berbeza.

Tidak pernah terlintas di fikiran kita dahulu bahawa tuntutan penggunaan Kalimah Allah oleh orang bukan Islam boleh berakhir di mahkamah. Hari ini Enakmen Pengawalan Agama Islam Negeri-Negeri yang kewujudannya telah ada sejak sekian lama bagi memastikan tidak berlakunya indoktrinasi agama lain kepada umat Islam juga telah dicabar keabsahannya.

Tidak bersatunya ahli legislatif Muslim dalam isu pembentangan Rang Undang-Undang 355 di Parlimen baru-baru ini cukup menggusarkan kita apatah lagi ini disusuli dengan ugutan beberapa presiden parti politik untuk meletak jawatan akibat pembentangan rang-undang-undang yang secara khususnya hanya melibatkan orang Islam di negara kita.

Para penggubal undang-undang dan pihak berkuasa tidak boleh lagi merasa bersalah atau segan-silu untuk mengangkat status agama Islam dalam negara kita. Artikel 3 (1) berkaitan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sudah pastinya memberikan sedikit keistimewaan dalam beberapa aspek mengatasi agama lain. 

Oleh kerana itulah terdapat enakmen-enakmen bagi melindungi agama Islam digubal di setiap negeri yang antara lain bertujuan memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara ketika berdepan apa jua perubahan zaman.

Namun undang-undang tanpa kemampuan untuk menguatkuasakannya akan menjadikan pihak berkuasa kita yang didukung oleh orang Melayu diibaratkan umpa-ma mercun tanpa letupan. Lihat sahajalah kekangan dihadapi pengu­at kuasa sehinggakan untuk menyita dan merampas barang-barang di Pusat Hiburan Keluarga tanpa lesen pun perlu mendapat izin mahkamah dan menjadi amat sukar sekali.

Akhirnya, hanya helaian notis kompaun dikeluarkan yang tidak langsung mendatangkan kege-runan kepada pengusaha haram tersebut.

Antara tindakan untuk memperkasakan kedudukan agama Islam oleh pihak berkuasa adalah menentukan kedudukan tempat solat umat Islam di mana-mana premis beli-belah. Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama Islam dalam negara kita berada dalam jawatankuasa teknikal bagi meluluskan apa-apa pelan sesuatu bangunan termasuk pengeluaran Sijil Kelayakan Menduduki atau Sijil Penyiapan dan Pematuhan.

Terkadang amatlah menyedih-kan melihat surau yang disediakan oleh pengusaha di pusat-pusat beli-belah yang gah dalam keadaan daif dan meloyakan serta diletakkan di lokasi yang setaraf dengan tandas awam atau stor barangan.

Bukankah para asatizah sentiasa mengingatkan kita bahawa masjid dan surau adalah lambang syiar Islam yang utama. Takkanlah itu pun tidak lagi mampu dipertahankan atau diangkat oleh kita umat Islam di Malaysia?

Dengan adanya kuasa yang jelas dan meluas pada waktu akan datang, pendakwaan akan dapat dibuat terhadap pihak-pihak yang masih cuba menerobos akidah umat Islam. Kian lama kita membiarkan peruntukan perundangan kita dalam kesamaran, semakin banyaklah pihak yang membuat tafsiran sendiri akan maksud sebenar peruntukan tersebut mengikut selera dan kepentingan kumpulan tertentu.

Sementara kita sentiasa berusaha menjaga keharmonian antara kaum dengan memberikan pelbagai kemudahan dan penghormatan kepada agama lain dalam negara kita, alangkah baiknya jika ahli-ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira pegangan politik-nya dapat menghantar isyarat yang jelas kepada warga Malaysia tentang perkara-perkara teras yang tidak boleh dipersoalkan.

Tidak perlulah berasa segan silu untuk mempertahan dan mengangkat martabat agama Islam dan bangsa Melayu dalam negara kita ini. Mudah-mudahan kita tidak dipersalahkan oleh generasi akan datang kerana terlalu leka membiarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan kita ditafsirkan sewenang-wenangnya.

*IKBAL SALAM, PENULIS ialah Peguambela dan Peguam­cara dari Johor Bahru/Utusan