#Islam: Ramadhan Erat Hubungan Kekeluargaan

Gambar Hiasan
RAMADAN merupakan satu bulan yang sangat bermakna kepada orang Islam. Ia adalah bulan yang digunakan oleh umat Islam untuk beribadat seolah-olah tiada lagi bulan lain yang lebih penting daripada Ramadan.

Biasanya menjelang 1 Ramadan ramai yang balik ke kampung kerana ingin berpuasa bersama ibu bapa dan bagi yang telah berkeluarga, ingin membawa isteri atau suami serta anak-anak merasai suasana berpuasa di kampung halaman.

Menyambut Ramadan di rantau orang atau tinggal jauh daripada keluarga adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tentunya bagi mahasiswa-mahasiswi yang berada di kampus kerana semester masih belum berakhir, pengalaman berpuasa di kampus bersama rakan-rakan akan menjadi satu kenangan indah suatu masa nanti.

PENGALAMAN BERPUASA


Saya mula berpuasa seawal usia lima tahun demi memperoleh pujian daripada kedua-dua ibu bapa dan mendapat keutamaan memilih juadah istimewa semasa berbuka. Bukan itu sahaja, duit raya pun banyak kerana mendapat RM5 apabila berjaya menghabiskan puasa lima hari walaupun dalam keadaan keletihan. Arwah ayah sering mengingatkan bahawa berpuasa mampu mendidik diri supaya insaf dan bersyukur kepada Allah yang memberikan rezeki kepada kita.

Merasai kelaparan dan penderitaan orang yang tidak berkemampuan, menginsafkan bahawa kami sangat beruntung. Walaupun kami bukan dalam kalangan orang berada namun pada setiap Ramadan, banyak rezeki yang datang dan ia dikongsi bersama jiran tetangga serta keluarga.

Setiap kali berbuka, ada sahaja juadah yang dihantar jiran atau anak murid arwah ayah kerana dia merupakan guru al-Quran. Pada zaman saya membesar, guru al-Quran dan imam amat dihormati dalam masyarakat.

Daripada berpuasa lima hari kerana duit upah dan makanan yang enak, saya dididik untuk berpuasa kerana Allah. Puasa adalah kaedah terbaik untuk mengawal nafsu. Ia dapat melahirkan jiwa yang tenang, sentiasa bersyukur dan mahu membantu orang lain.

Kami juga belajar tidak membazir kerana setiap makanan adalah rezeki. Pada zaman belum ada peti sejuk, juadah berbuka dimasak secukupnya dan biasanya semasa sahur, ibu akan memasak makanan panas yang lain.

Saya kagum dengan pengorbanan ibu bapa, bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga mencari rezeki untuk kami adik beradik, tetapi berkorban masa menyediakan makanan.

Apabila sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, saya menginsafi kesusahan yang dilalui ibu untuk membolehkan kami adik beradik berpuasa. Pada zaman dahulu tiada microwave, tiada dapur gas untuk mempercepat proses memasak. Hari ini saya boleh masak lebih awal, sejukan dan simpan dalam peti sejuk. Hari ini jika terbangun lewat pun masih boleh bersahur kerana nasi sudah dimasak dan masih panas dalam periuk elektrik.

PUASA SEORANG MUSAFIR
Apabila menyambung pelajaran di luar negara dan berpuasa tanpa keluarga, hati menjadi sayu. Barulah saya tahu rasanya seorang musafir bersendirian di tanah orang .Teringat bertarawih dengan pelajar dari Timur Tengah yang membaca satu juzuk satu malam dan akhirnya bertarawih sendiri kerana tidak larat berdiri.

Kami juga sering berbuka beramai-ramai dengan cara potluck yang berjaga mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar Islam, sekali gus menjadi teladan kepada rakan pelajar bukan beragama Islam lain. Walaupun kami datang dari negara, budaya dan bahasa berlainan tetapi Islam menyatupadukan kami. Selepas berbuka, kami solat berjemaah, berdiri lurus mengadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu.

Pengalaman berpuasa di luar negara semasa belajar menjadikan kita lebih bersyukur kerana dapat melihat kenikmatan hidup berkeluarga di sebuah negara yang aman damai. Di Malaysia, Ramadan dipenuhi dengan bazar dengan berbagai aneka makanan.

Bila tinggal di negara yang bukan Islam, kita terpaksa masak sendiri, berbanding dengan negara sendiri, makanan halal mudah diperoleh dan boleh singgah di masjid-masjid untuk berbuka puasa kerana boleh dikatakan semua masjid menyediakan juadah berbuka.

Berbuka bersama keluarga adalah satu kenikmatan yang akan dikenang sampai bila-bila. Semasa kecil, kita berebut makan untuk berbuka, kerana makanan disediakan hanya cukup-cukup. Apabila sudah bekerja dan mempunyai wang sendiri, berbuka bersama keluarga adalah untuk mengerat silaturahim dan semangat kekeluargaan. Apabila berpuasa di luar negara kita teringat keluarga di kampung.

Kita teringat cendol sagu yang sedap, kuih muih yang berbagai dan ibu bapa serta adik beradik yang sentiasa bersama semasa berpuasa dahulu. Jika kita sendiri sudah berkeluarga dan anak-anak sudah dewasa serta berumah tangga, puasa mengingatkan zaman kita membesarkan mereka dan teringin berpuasa dan berbuka dengan anak menantu serta cucu.

Setiap kali puasa ada kelainannya dan puasa adalah masa bersama keluarga. Puasa melahirkan insan yang tenang, zuhud, suka bersedekah serta tidak membazir. Puasa menjadikan kita manusia yang lebih berdisiplin dan bertakwa.

“Semasa kecil, kita berebut makan untuk berbuka, kerana makanan disediakan hanya cukup-cukup. Apabila sudah bekerja dan mempunyai wang sendiri, berbuka bersama keluarga adalah untuk mengerat silaturahim dan semangat kekeluargaan.

Sumber: Utusan