#Islam: Terbukti Palestin Bukan Milik Israel..!


SIAPA kata Palestin milik kaum Yahudi? Siapa kata tanah yang diberkati ini penduduk asalnya Bani Israel?

Kata-kata ini tidak benar, malah hanyalah dakwaan bersifat penyelewengan fakta semata-mata oleh pihak berkepentingan untuk menguasai wilayah yang telah didiami lebih awal oleh sebuah kaum atau masyarakat bernama Kanaan. Tidak hairanlah Palestin dahulunya pernah dikenali sebagai Tanah Kanaan.

Siapakah kaum Kanaan ini? Ahli-ahli sarjana Islam percaya kaum Kanaan datang ke Palestin sejak sebelum kedatangan Nabi Ibrahim a.s. lagi iaitu sekitar 2000 hingga 3000 tahun sebelum Masihi.

Ada juga dalam kalangan sarjana Islam yang menyebut kaum Kanaan berasal daripada Ham, putera Nabi Nuh a.s. Mereka berhijrah ke Palestin untuk mencari kehidupan lebih baik.

Kaum ini mahir dalam industri logam dan tekstil, kesenian, perdagangan dan ketenteraan. Kaum ini mempunyai susur galur dari leluhur Phonesia yang hidup pada Zaman Gangsa. Mereka merupakan arkitek bagi Kapal Perang Bireme, Kapal Dua Pendayung yang serba luar biasa.

Di Palestin, kaum Kanaan mendiami kawasan berbukit dan pergunungan menjadi penggembala kambing, sementara sebahagiannya tinggal di kawasan lembah menjadi petani sementara yang tinggal di lembah-lembah pesisir Jordan menjadi pedagang laut.

Mereka mendirikan kota-kota kecil Kanaan dan mengadakan hubungan dengan kerajaan kuno sekitarnya. Kerana kaum ini juga, Palestin menjadi penting dan penghubung kepada pelbagai benua dunia pada waktu itu.

KAUM YANG GAGAH

Kanaan dikenali juga sebagai kaum yang gagah perkasa. Kisah Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israel ada mencatatkan kisah kegagahan kaum ini.

Mereka menjawab:
“Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”. ( al-Maidah: 22)
Malangnya, agama dan kepercayaan mereka tidak bersumberkan tauhid kepada Allah SWT. Sebaliknya, mereka menyembah berhala dan dewa sebagaimana penemuan banyak kuil lama mereka di bawah runtuhan Kota Kuno Jericho (Ariha) di Palestin.

Kaum Bani Israel diusir dari Palestin ketika zaman Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf a.s ke Mesir juga kerana kezaliman sendiri. Mereka dijanjikan oleh Allah SWT tanah Palestin lantaran penderitaan yang dialami kerana kekejaman Firaun.

Pun begitu mereka enggan memasukinya semasa diarahkan berbuat demikian pada zaman Nabi Musa a.s., sebaliknya memasuki Palestin ketika dipimpin oleh Nabi Yushak a.s. setelah berjaya mengalahkan kaum Kanaan dengan bantuan Allah SWT.

Dalam peristiwa kemenangan ini, Allah SWT memberhentikan peredaran matahari seketika sekaligus menundakan kehadiran malam bagi membolehkan kemenangan diperoleh Nabi Yushak a.s. dan kaumnya Bani Israel.

Setelah berhasil menakluk seluruh bumi Kanaan, Nabi Yushak a.s. membahagi tanah ini kepada 12 bahagian (The twelve tribes of Israel). Setiap bahagian diberikan kepada suku-suku Bani Israil yang terdiri daripada 12 suku.

MULA RUNTUH

Sesetengah pengkaji sejarah kuat mengatakan bahawa proses asimilasi antara kaum Kanaan dengan Bani Israel membuktikan bahawa kepercayaan dan agama keduanya saling berkait.

Para ilmuan sejarah juga berhasil membuktikan bahawa leluhur bangsa Israel mempunyai kesamaan dalam hal kepercayaan dan beragama bangsa Kanaan.

Sejarah penduduk terawal Kanaan di Palestin secara perlahan-lahan akhirnya lenyap dan digolongkan dalam kategori Al Arab Al Baidah (Bangsa Arab yang telah musnah). Ia berlaku semasa zaman Nabi Sulaiman a.s.

Seperti mana kaum Kanaan di Palestin, kaum Bani Israel juga akhirnya lemah. Mereka dijajah dan diusir sebagai orang buangan oleh banyak empayar besar seperti Babylon, Parsi dan Rom sekitar penghujung sebelum Masihi dan awal Masihi. Pada zaman moden pula dilanyak oleh pihak Nazi, Jerman.

Akibatnya mereka bertebaran di seluruh dunia khususnya di Eropah Timur. Kaum ini pernah dikategorikan sebagai 10 kaum yang hilang di dunia.

Apa yang terjadi kepada Bani Israel sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan tidak diduga, malah semuanya telah dinyatakan dalam al-Quran antaranya surah al-Baqarah, al-Maidah dan al-Araf.

Walaupun asalnya mereka adalah kaum pilihan Allah SWT dan dijanjikan tanah untuk mereka di Palestin, sejarah merakamkan bagaimana kaum ini akhirnya dilaknat dan pernah dibinasakan oleh Allah SWT lantaran kesombongan dan kekufuran mereka.

Apa yang sedang terjadi di Palestin hari ini merupakan sebahagian daripada kerosakan yang pernah mereka lakukan dahulu seperti mana dinyatakan oleh Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau." (al Isra’: 4)
YAHUDI BUKAN BANI ISRAEL

Sarjana Islam sependapat bahawa Bani Israel telah hilang status keistimewaan yang pernah diberikan Allah SWT kepada mereka pada awalnya, begitu juga dengan tanah Palestin bukanlah lagi milik mereka lantaran segala kerosakan yang mereka lakukan, selain kufur kepada Allah SWT.

Kisah kaum Kanaan dan sejarah awal Palestin akan dipaparkan dalam episod ke 2 - bertajuk ‘Palestin Milik Kanaan?’. Penggambaran telah dilakukan di Palestin dan Jordan khasnya di kawasan yang mempunyai kaitan dengan sejarah kaum ini termasuk di Laut Mati, sempadan kedua-dua negara, Makam Nabi Musa, Nabi Harun dan Makam Nabi Yushak a.s. yang merupakan nabi paling banyak berkait dengan kaum Bani Israel.

Antara sarjana Islam yang telah ditemubual dan berkongsi kajian mereka antaranya pengkaji Sejarah dari Palestin, Profesor Mustafa Abu Sway dari Universiti Al Quds, Palestin, Profesor Asem Shehadeh Saleh Ali dan Dr. Mutasem Am Ali, dan Profesor Ibrahim Mohamed Zain dari Sudan.

Episod ini penting dalam memberikan maklumat kepada umat Islam mengenai sejarah asal usul Palestin Bani Israel di Tanah Anbia yang diberkati Palestin. Jangan ketinggalan menyaksikan Dokumentari Ayat Riwayat setiap hari jam 5.30 petang di TV AlHIjrah, bertemakan - Palestin : Bumi Kemenangan.

Sumber: Utusan