Isu Rafizi Tak Beri Sebarang Kesan - Ahmad Zahid


KUALA KANGSAR - Isu yang dikecohkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menyerang imej isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan cuba dijadikan bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak akan memberi sebarang kesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rafizi sebelum ini telah berkali-kali melempar tohmahan terhadap Rosmah, namun ternyata tuduhan-tuduhan itu ternyata tidak benar.

"Dia pernah membuat pelbagai tuduhan sebelum ini, namun ia tidak memberi kesan," tegas Ahmad Zahid mengenai tuduhan Rafizi yang cuba menjadikan isteri Perdana Menteri sebagai bahan kempen di PRK Kuala Kangsar kali ini.

Tuduhan Rafizi dikatakan sebenarnya tidak menjadi isu dan ia sudah pun dijelaskan oleh Pegawai Khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor yang menegaskan Rosmah menggunakan pesawat berkenaan ekoran jadualnya yang padat dan beliau layak dari sudut protokol.

Setiausaha Agung PKR itu sebelum ini cuba mencetus isu mempersoalkan tindakan Rosmah yang kononnya menyewa khas sebuah pesawat peribadi untuk ke sebuah program di Istanbul, Turki.

Namun tuduhan tersebut dibuktikan tidak tepat, walaupun Rafizi terus menerus cuba memainkan isu berkenaan di sini untuk menjejaskan imej BN dan meraih undi. -Kedahnews.com