Isu Vaksin: Imam Muda Ammar Mohon Maaf

Imam Muda Ammar
SEJAK beberapa hari ini, isu pengambilan vaksin atau imunisasi menjadi topik hangat diperkatakan rakyat Malaysia.

Semuanya bermula apabila akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dari Melaka, 7, meninggal dunia pada Sabtu seleps dijangkiti bakteria difteria berpunca kerana tidak mengambil suntikan imunisasi.

Lebih hangat, seseorang pendakwah yang dikenali sebagai Imam Muda Ammar telah memuat naik satu posting memperlekeh pengambilan vaksin dengan mendakwa vaksin tidak akan membantu melambatkan kematian seseorang.

Status kontroversi itu terus membuatkan orang ramai menghentamnya dan menyifatkannya sebagai individu antivaksi.

Status itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya.

Ekoran tidak tahan dihentam dan dikritik teruk, Iman Muda Ammar akhirnya bertindak menutup akaun Facebook miliknya itu.

Pun begitu, menerusi akaun yang diberi nama ‘Hamba Berdosa’, Ammar telah memuat naik satu status permohonan maafnya secara terbuka.

Jelasnya, dia bukanlah individu antivaksin dan status yang ditulis sebelum ini sebenarnya ditujukan kepada seorang kenalan Facebooknya yang seolah-olah menafikan kekuasaan Allah.

“Tulisan sindiran itu timbul daripada perasaan marah kerana tulisan seseorang yang saya baca di fb dimana tulisan itu seolah-olah menafikan kuasa Allah.

“Vaksin adalah asbab dan perantara, tetapi segalanya dengan izin Allah.

“Mungkin saya perlu menghadiri kelas agar lebih tepat maksud yang ingin disampaikan.

“Setiap manusia sering melakukan kesilapan, jadi maafkan saya,” tulisnya.

Selain itu, Ammar turut memberitahu, dia telah membuang gelaran ‘Imam Muda’ yang diterimanya atas saranan ramai dan memohon tidak melibatkan rakan Imam Muda yang lain.

Di bulan Ramadan ini, sama-samalah kita bermaaf-maafan dan jauhilah segala sengketa. -Kedahnews.com