Dia masih muda tetapi kanak-kanak ini - Jimmai- sudah melalui banyak kepayahan fizikal berbanding usianya.
Dilahirkan dalam keluarga nomad yang menetap di dataran tinggi Chang Tang, Himalaya, Jimmai mengamalkan cara hidup yang semakin pupus.
Puaknya menghabiskan masa mereka mencari makanan bagi kambing belaan di kawasan pergunungan salji dan semakin terdesak mengharungi kehidupan di dalam dunia yang beransur meninggalkan mereka.
Jurugambar Cat Vinton diterima baik puak Jimmai- Chang Tang-Pa- dan menghabiskan dua bulan mempelajari kesungguhan mereka mengekalkan kehidupan nomad.
Tanpa teknologi, puak Chang Tang-Pa hidup serba ringkas yang digambarkan Cat sebagai bertentangan dengan kehidupan di Barat.
Puak itu melarikan diri ke Chang Tang yang terpencil di sempadan Tibet-India selepas serangan oleh China pada 1959.
Kini, walaupun nampak seperti hidup sebagai pelarian, hakikatnya mereka bebas bergerak dan menjalankan kehidupan seharian bersama kambing serta biri-biri mereka.
Cat menyaksikan sendiri betapa eratnya hubungan puak berkenaan dengan haiwan peliharaan itu melalui budak perempuan bernama Sonam, 12, yang sering menyanyi kepada kambingnya dan mencari kawasan ragut baru untuk kawanan itu.
Dia juga mempunyai tanggungjawab besar memastikan semua haiwannya termasuk yang paling kecil tidak kekurangan susu dan makanan - sesuatu yang sukar memandangkan hampir keseluruhan padang ragut ditenggelami lapisan salji tebal.
“Paling menakjubkan bagi saya adalah kekentalan jiwa mereka dan keazaman mereka untuk meneruskan kehidupan.
“Sepanjang bersama mereka saya tinggal dan makan seperti mereka, termasuk berkongsi khemah bukan saja dengan sebuah keluarga, malah kambing dan biri-biri mereka,” kata Cat.
Puak Chang Tang-Pa tidak memerlukan duit sebaliknya ‘perniagaan’ dijalankan dengan bertukar barangan terutama benang diperbuat daripada bulu kambing mereka.
“Saya dimaklumkan kerajaan India pembeli eksklusif hasil barangan mereka dengan harga yang terlalu rendah,” kata Cat.
Sumber: myMetro