Jual Burung Di Facebook, Perhilitan Tahan Lelaki Di Pendang

Merbah Luris Leher (Gambar Hiasan)
ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah menahan seorang lelaki kerana melakukan aktiviti jual beli burung pelbagai spesies melalui laman sosial Facebook 'Geng Jual Beli Burung Penduduk Kedah'.

Pengarah Perhilitan Kedah Mohamad Hafid Rohani berkata, hasil siasatan ke atas laman sosial tersebut, anggota penguat kuasa Perhilitan melakukan serbuan ke atas kediaman lelaki berusia 32 tahun itu di Kampung Sawa Kecil, Pendang petang tadi dan menemui 14 ekor burung pelbagai spesies.

"Sebanyak 12 ekor burung Mata Putih/Kelicap Kunyit (status dilindungi), seekor burung Serindit (status dilindungi) dan seekor burung Merbah Luris Leher (status dilindungi sepenuhnya) ditemui di kediaman tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamad Hafid berkata kejadian itu merupakan yang kedua dalam bulan ini, apabila seorang remaja juga turut ditahan pada 3 Jun lalu kerana memiliki sembilan burung pelbagai spesies antaranya burung ayam-ayam, lang sewah, burung sintar, dan burung daun.    

Sekiranya disabitkan kesalahan, lelaki tersebut boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya. - Bernama