Judi Euro 2016, 60 Individu Ditahan - KPN

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Sejak Ops Soga dilaksanakan pada 1 Jun lepas, kira-kira 60 individu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian sempena Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2016 yang sedang berlangsung sekarang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka yang ditahan beroperasi secara persendirian dan beberapa kumpulan kecil.

“Kita turut membongkar satu kumpulan yang teratur yang terlibat dalam perjudian ini,” katanya kepada pemberita namun enggan mengulas lanjut mengenai pembongkaran tersebut.

Beliau menyampaikan sumbangan kuih kepada ketua-ketua jabatan Polis Diraja Malaysia untuk diagihkan kepada anggota yang bertugas semasa Aidilfitri.

Ops Soga akan tamat sehingga kejohanan Euro 2016 berakhir pada 10 Julai.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Ops Selamat sempena Aidilfitri akan dilaksanakan selama 16 hari mulai 28 Jun hingga 13 Julai.

Beliau berkata operasi akan melibatkan seluruh anggota Jabatan Trafik selain dibantu anggota lain.

“Sepanjang tempoh itu, anggota polis trafik tidak dibenarkan bercuti dan mereka hanya akan bercuti apabila operasi berkenaan selesai,” katanya. – BERNAMA