Kami Pun Teringin Nak Ke Sekolah - Anak Permata Harmoni

Antara 14 penghuni perempuan yang berada di Pusat Jagaan Permata Harmoni.
ALOR SETAR - Saat teman-teman seusia berada di bangku sekolah, 14 penghuni Pusat Jagaan Permata Harmoni di sini terpaksa melupakan hasrat itu kerana masalah kewangan dihadapi keluarga.

Kesemua penghuni perempuan berusia 15 hingga 19 tahun itu langsung tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Permata Harmoni yang juga Pengetua Pusat Jagaan Permata Harmoni di Jalan Suka Menanti, Haizad Ali berkata, kebanyakan mereka dihantar ke sini kerana keluarga tidak dapat menampung kos perbelanjaan sekolah.

Beliau bagaimanapun berurusan dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk memastikan ajaran agama dibuat mengikut silibus yang betul dan pada masa sama berusaha memberi pendidikan formal.

“Mungkin tahun depan kita akan beri pendidikan formal kerana banyak yang perlu diurus,” katanya.

Haizad berkata, walaupun begitu, mereka diajar pelbagai kemahiran antaranya memasak, membuat kuih-muih dan menjahit.

Menurutnya, RM34,000 diperlukan sebulan untuk menampung kos perbelanjaan tiga pusat jagaan termasuk dua di Tanah Merah, Jitra.

Dalam pada itu, salah seorang penghuni, Mufliha Najiha Mohd Khusaini, 15, berasal dari Teluk Intan, Perak, menyatakan hasratnya yang mahu kembali bersekolah seperti rakan lain jika diberi peluang.

Mufliha sempat belajar setakat darjah enam di Sekolah Kebangsaan Cikgu Mior Sharudin, Perak namun terpaksa berhenti kerana ibu bapanya tidak mampu menanggung kos persekolahan.

“Saya teringin nak ke sekolah dan ubah masa depan keluarga,” katanya.

Sementara itu Pengarah JKM Kedah, Md Noor Chik berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan kelulusan kepada pusat jagaan itu jika memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menasihati pengusaha mendaftarkan penghuninya ke sekolah.

Sumber: Sinar Harian