Anggota polis melakukan serbuan dan tangkapan dua lagi suspek yang melarikan diri di kawasan tapak binaan dekat Padang Meiha. |
KULIM - Hasrat tiga penjenayah untuk memecah masuk sebuah rumah penduduk di Taman Desa Aman, di sini tidak kesampaian apabila tindakan mereka disedari penduduk dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi baru-baru ini.
Sumber berkata, penduduk memaklumkan kepadanya mengenai cubaan tiga suspek berusia lingkungan 20-an yang cuba memecah masuk sebuah rumah itu disedari seorang penduduk.
"Penduduk memberitahu saya yang dia terlihat sebuah kereta Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan parkir di hadapan sebuah rumah.
"Saya pun bergegas ke lokasi kejadian dan ternampak dua suspek sedang berusaha memecahkan mangga pintu rumah penduduk, namun apabila menyedari kehadiran saya, mereka kembali ke kereta dan melarikan diri," katanya.
Bagaimanapun katanya, pada jam 10.30 pagi, ketiga-tiga suspek telah menghantar kenderaan mereka yang mengalami masalah pada bahagian brek di sebuah bengkel di kawasan perumahan tersebut.
"Saya bergegas ke bengkel berkenaan selepas dimaklumkan oleh pemilik sebelum menghubungi polis.
"Seorang suspek yang berada di situ berjaya ditangkap manakala dua lagi sempat melarikan diri dan bersembunyi di kawasan tapak binaan berdekatan," katanya.
Tambahnya, usaha mengesan dua lagi suspek telah diteruskan anggota polis dan dibantu Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PKKM) serta penduduk di kawasan sekitar selama hampir dua jam.
“Setelah hampir dua jam mengesan, seorang pengurus tapak binaan memberitahu terdapat dua lelaki mencurigakan berada di kawasan itu, jadi kami bergegas ke sana.
“Dua lagi suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan pada kenderaan tersebut juga mendapati ada alatan dipercayai untuk aktiviti pecah rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan berkata, ketiga-tiga suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut kerana dipercayai memiliki kereta curi yang dilaporkan hilang di kawasan terbabit.
Sumber: Sinar Harian