Kehidupan Yang Tidak Berubah Sejak Ribuan Tahun


MASA seolah-olah terhenti di Kepulauan Solomon apabila persekitaran dan kehidupan penduduknya tidak pernah berubah sama seperti ribuan tahun dahulu.

Penduduk di kepulauan ini masih menggunakan kanu yang ditebuk dari batang pokok kayu untuk bergerak, sama seperti nenek moyang mereka.

Di kawasan pedalaman pula, bulan masih digunakan sebagai kalendar walaupun hari dalam seminggu tidak memberi makna kepada penduduk.

Sejak ribuan tahun, lautan mencorakkan nasib dan menjadi sumber rezeki kepada penduduk di Kepulauan Solomon yang terbentuk daripada lebih 1,000 pulau.

Jurugambar Perancis, Fabien Astre, 32, meng­habiskan masa setahun mendokumentasikan kehidupan unik penduduk di kepulauan Pasifik itu yang terletak di selatan garisan Khatulistiwa.


Imej yang dirakam Astre mendedahkan keunikan yang menakjubkan yang dimiliki penduduk di kepulauan berkenaan.

“Tidak kira pulau mana yang dijejaki, anda dijamin untuk merasai dunia yang jauh berbeza dari segala yang pernah anda ketahui.

“Walaupun mempunyai kepelbagaian populasi dengan lebih 70 bahasa dituturkan, Kepulauan Solomon tetap mempunyai satu persamaan - laut yang menyatukan mereka,” kata Astre.


Astre menerokai lagun berwarna hijau kebiruan dan pulau di mana bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy pernah terkandas ketika dia berkhidmat dalam tentera ketika Perang Dunia Kedua.

Dia turut merakamkan suasana di pasar yang berwarna warni dengan penjual kadang kala tidur bersebelahan barangan jualannya sepanjang minggu.

Gambar yang dirakamkan Astre ini menceritakan suatu lokasi di mana jam benar-benar terhenti.

Sumber: myMetro