Kejam! Tergamak Cederakan Wanita Dalam Pantang Di Baling

BALING - Seorang wanita berusia 32 tahun masih dalam pantang cedera selepas cuba menyelamat diri dan keluar dari kereta Proton Wira suaminya yang dicuri seorang lelaki.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang kelmarin di Pekan Kupang itu, mangsa bersama anaknya berusia 22 hari berada di dalam kereta manakala suaminya keluar untuk membeli barangan keperluan anak mereka.

Mangsa juga dikatakan baru selesai melakukan pemeriksaan anaknya di sebuah klinik sebelum kereta yang tidak berkunci dan tidak dimatikan enjin dimasuki pemuda berusia lewat 20-an.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusof berkata, suspek masuk ke dalam kereta dan mengarahkan mangsa bersama anaknya keluar dari kenderaan.

Menurutnya, mangsa yang sedang memangku anak keluar sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki.

“Suami mangsa tidak sempat untuk melakukan apa-apa selepas keretanya dilarikan suspek.

"Isterinya yang mengalami kecederaan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Shariffudin turut menasihati orang ramai agar tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Insiden itu turut menerima kritikan ramai pelayar internet di media sosial Facebook selepas ia mula diviralkan beberapa jam selepas kejadian.

Sumber: Sinar Harian