Keadaan kereta yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan. |
BALING - Hajat seorang lelaki untuk memberi dua biji durian kepada guru sekolah memandunya tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Simpang 3, Selarong Kejai, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah Labu Besar menghala ke arah Kejai.
Mangsa, Mohamad Fadli Abu Mansot, 42, dari Kampung Ulu Seputeh yang menaiki sebuah motosikal mengalami kecederaan parah dari bahagian pinggang hingga kaki dan luka ringan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta penumpang kereta selamat.
Difahamkan, Mohd Fadli hanya mempunyai lesen L bagi motosikal dan dalam ujian terakhir untuk mendapatkan lesen P.
Hari terakhir dapatkan lesen P
Adik mangsa, Mohamad Hazahar Abu Mansor, 41, berkata, sebelum keluar untuk ke sebuah institut memandu di Kulim, mangsa sempat mengambil dua biji durian dari pokok di tepi rumah untuk diberikan kepada guru memandunya.
Menurutnya, buah durian itu diambil dari pokok yang cukup disayanginya dan ia dijaga rapi lebih dari lima tahun lalu.
"Buah durian itu dah luruh pada waktu malam lagi. Sebelum abang keluar pagi kejadian, dia sempat kutip dua biji durian yang luruh itu untuk disedekahkan kepada gurunya dan keluar kira-kira jam 7.30 pagi.
"Abang baru ada lesen L. Hari ini adalah hari terakhir ujiannya untuk dapatkan lesen P," katanya, semalam.
Mohamad Hazahar berkata, abangnya juga sempat menziarahi ibu saudaranya yang meninggal dunia tidak jauh dari rumah sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi dituju.
“Selepas keluar abang singgah untuk ziarah ibu saudaranya yang meninggal dunia pada malam semalam (kelmarin), malah ahli keluarga lain juga sempat bergurau dengan mengajaknya keluar pergi menjala dan memancing ikan .
“Abang saya kata dia ikut saja mahu pergi ke mana sekalipun, malah untuk keluar jauh pun dia sanggup,” katanya.
Katanya, tidak lama selepas itu, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan abangnya ditimpa kemalangan.
"Sejurus tiba di lokasi bersama salah seorang adiknya, abangnya sudah pun menghembus nafas terakhir,” katanya.
Sempat cium anak saudara
Mohamad Hazahar berkata, dia mengakui sukar untuk melupakan segala kenangan manis bersama abangnya.
“Banyak kenangan indah bersama abang yang tidak dapat dilupakan. Kami sering menoreh getah, menebas, memancing dan tahan burung bersama.
“Ramadan tahun ini pun abang banyak menyediakan juadah berbuka untuk kami sekeluarga, dia kerap pergi ke bazar dan membeli makanan untuk berbuka, kali ini saya sempat berbuka tiga kali dengannya,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abu Mansor Jusoh, 62, berkata, Mohd Fadli sempat mencium dua orang anak saudara sebelum keluar.
“Saya lihat dia cium pipi mereka sebelum bertolak, saya reda dengan apa yang berlaku, semua ini ujian daripada ALLAH,” katanya.
Manakala anak mangsa, Mohd Fakrul, 16, berkata, insiden menimpa ayahnya itu diketahui sebelum bertolak ke sekolah.
Menurutnya, setiap tahun, ayahnya juga akan membeli pakaian hari raya sehari sebelum Aidilfitri menjelang.
“Ayah selalu sediakan pakaian hari raya untuk saya setiap tahun, untuk tahun ini, Ramadan dan Aidilfitri tanpanya lagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian