UMAT Islam mana yang tidak gembira menyambut Ramadan, bulan yang dipenuhi keberkatan dan ganjaran buat manusia yang benar-benar ikhlas mencari keredhaan-Nya.
Namun dalam keghairahan mengerjakan ibadah, terdapat beberapa persoalan berkaitan perkara yang membatalkan puasa terutama melibatkan bidang perubatan, menimbulkan tanda tanya pada sesetengah kita.
Sebagai contoh, adakah suntikan bius dan menderma darah membatalkan puasa? Serta bolehkah seseorang itu meneruskan puasa setelah menjalani rawatan hemodialisis?
Merujuk perkara ini, Dr. Ahmad Zakimi Abdullah, seorang Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkongsikan 19 perkara yang tidak membatalkan puasa berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan perubatan.
Fatwa berkenaan 19 perkara ini juga telah disahkan oleh ulama besar, Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi bersama Majlis Fatwa Eropah. Semoga artikel ini bermanfaat kepada semua.
1. Ubat titik mata dan telinga, cuci telinga (earwash).
2. Ubat GTN yang diletakkan di bawah lidah dengan syarat ia tidak ditelan.
3. Memasukkan pessary, ovules kedalam kemaluan wanita (vagina), cuci vagina, memasukkan alat speculum kedalam vagina; atau memasukkan jari (oleh doktor/bidan) untuk pemeriksaan (contoh periksa jalan untuk bersalin).
4. Memasukkan alat urethroscope ataupun ubatan melalui saluran kencing ataupun irigasi pundi kencing.
5. Menggerudi, mencabut, mencuci gigi, menggunakan miswak (kayu sugi); dengan syarat ia tidak ditelan.
6. Injeksi (cucuk) melalui kulit ke dalam otot (intramuscular), sendi (intraarticular), ke dalam pembuluh darah (intravenous) kecuali jika bahan yang dicucuk itu mempunyai zat.
7. Menderma atau menerima darah.
8. Menerima oksigen atau gas untuk bius.
9. Menerima semua bahan yang diserap ke dalam badan melalui kulit seperti krim sapuan, minyak dan sebagainya.
10. Mengambil darah untuk pemeriksaan.
11. Memasukkan tiub (catheter) untuk pemeriksaan.
12. Memasukkan tiub melalui mulut atau dubur (Endoscopy) untuk pemeriksaan (diagnostic) atau rawatan (intervention).
13. Mencuci mulut, kumur-kumur, spray mulut; dengan syarat ia tidak ditelan.
14. Pemeriksaan dalam rahim (Hysteroscopy) atau memasukkan alat dalam rahim (intrauterine device).
15. Mengambil sel dari hati atau organ lain (Biopsy).
16. Menggunakan ubat titik hidung, spray hidung atau inhaler (untuk asthma).
17. Injeksi pada dubur, pemeriksaan dubur (anoscopes) ataupun pemeriksaan dubur menggunakan jari.
18. Pembedahan yang memerlukan bius penuh (general anaesthesia); jika pesakit mahu berpuasa.
19. Haemodialisis atau peritoneal dialysis. –Kedahnews.com