Tersembunyi di tengah hutan liar di Finland, tinggal seorang wanita yang nekad meninggalkan kehidupan kota untuk hidup bersendirian bersama 85 ekor anjing baka Husky sebagai teman.
Tidak ramai yang mampu menghadapi cabaran suhu ekstrem mencecah -45 darjah celsius tetapi bagi Tinja Myllykangas, dia lebih menghargai hubungan istimewanya dengan alam semula jadi berbanding material.
Tinja hidup tanpa tenaga elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada dapur kayu untuk haba dan lilin sebagai sumber cahaya.
Baru-baru ini, dia membenarkan jurugambar dari Perancis, Brice Portolano menghabiskan masa selama dua minggu bersamanya untuk merakam kehidupan uniknya.
Wanita bersemangat waja ini mengambil keputusan meninggalkan pengajian biologi di bandar Jyvaskyla, Finland dan menetap di Lapland, kawasan berlandskap Artik pada 2008.
Menurutnya, dia merindui kehidupan di hutan rimba berbanding kehidupan bandar memandangkan dia dibesarkan dengan dikelilingi haiwan.
Justeru, dia mula mencari tempat untuk membesarkan anjing pembawa luncur salji dan akhirnya menetap berhampiran hutan simpan semula jadi Muotkatunturi, kira-kira 289 kilometer dari bandar terdekat.
Tinja memupuk hubungan yang kuat dengan anjing terbabit.
Bukan itu saja, dia juga memiliki kuda dan anjing serigala, yang menurutnya sangat setia dan selalu mengikutnya ke mana-mana.
“Saya suka bersama anjing dan kuda ini. Pada saya, bersendirian adalah cara paling tenang dalam menjalani kehidupan,” katanya.
Menjalani kehidupan tidak susah bagi Tinja walaupun rumah kayunya tidak dilengkapi bekalan air sementara makanan dimasak di luar rumah menggunakan dapur kayu.
Namun, menurut Portolano, perkara paling sukar yang dihadapi Tinja bukanlah keperluan seharian atau cuaca melampau di wilayah itu tetapi ketiadaan waktu siang, yang boleh berlarutan lebih sebulan.
“Dia menjalani kehidupan paling asas termasuk terpaksa memecahkan ais di sungai pada waktu pagi untuk mendapatkan air,” katanya.
Tinja memperoleh mata pencarian dengan menawarkan perkhidmatan lawatan menaiki kereta luncur yang ditarik anjingnya serta mereka yang ingin merasai pengalaman kehidupan di ladang Husky serta Artik.
Bagaimanapun, Tinja berkata, dia melakukannya bukan untuk tujuan komersial.
Sumber: myMetro