Kit Siang Dakwa PAS Kini Berfikiran Sempit

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
KUALA LUMPUR – PAS bukan sebuah lagi sebuah parti politik Islam yang berfikiran terbuka sejak ia dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, PAS telah kehilangan sikap terbuka seperti yang pernah ditonjolkan oleh bekas pemimpinnnya sejak dua dekad lalu.

Beliau mengambil contoh kenyataan Abdul Hadi sebelum ini bahawa pemimpin Malaysia wajib beragama Islam dan berketurunan Melayu.

Tegas beliau, kenyataan Presiden PAS itu bercanggah dengan prinsip asas Perlembagaan Negara yang membenarkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

“Saya tidak lagi dapat mengenali fikiran terbuka PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun atau Presiden PAS, Fadzil Nor dan Yusuf Rawa selama dua dekad sebelum Abdul Hadi.

“Pemimpin PAS menyarung pakaian pahlawan Melayu pada muktamar PAS baru-baru ini. Abdul Hadi mempunyai keris yang lebih panjang berbanding keris pendek Pemuda UMNO sewaktu muktamar PAS,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kit Siang berkata, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah mula mencaci penggunaan keris bagi mengukur nasionalisme Melayu.

Justeru, katanya, sudah tiba untuk rakyat Malaysia terutama orang Melayu menyertai politik baharu yang tidak mengira kaum, agama, kawasan atau parti politik bersatu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). –Kedahnews.com