PETALING JAYA - Gambar-gambar yang menunjukkan seorang anggota polis trafik menumpangkan seorang lelaki kurang upaya menaiki motosikalnya tersebar luas dan tindakannya itu dipuji oleh ramai rakyat Malaysia.
Netizen Mohd Shahrin berkongsi beberapa gambar dan menceritakan tentang kejadian itu dalam satu posting di media sosial.
"Seorang anggota polis dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail sedang membuat rondaan menaiki motosikal. Anggota polis itu dengan sukarela menumpangkan seorang lelaki kurang upaya yang tidak mempunyai dua kaki dan tangan kiri. Orang kurang upaya itu hanya bergerak menggunakan kekuatan tangan kanan dan badannya. Saya terharu melihatnya. Tahniah Korperal Ropi dari Balai TTDI yang memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Mohd Shahrin, Ahad.
Tindakan itu turut disedari oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Syabas URB @PDRMsia #PolisDanMasyarakatBerpisahTiada," tulis Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitternya, Isnin berserta gambar-gambar berkenaan.
Gambar-gambar itu, yang telah dikongsi di halaman Facebook PDRM, menerima beberapa 5,700 'likes' dalam masa 12 jam.
Anggota polis itu turut menerima maklum balas positif daripada rakyat Malaysia yang memuji tindakannya di ruangan komen.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Korperal Ropi bertemu lelaki itu semasa membuat rondaan di Jalan Tun Mohd Fuad 1 pada pukul 8 malam Ahad.
"Saya bimbang kereta mungkin tidak dapat melihatnya kerana hari sudah gelap, jadi saya menawarkan diri untuk menghantarnya ke stesen bas terdekat," Koperal Ropi dipetik sebagai berkata.
Orang yang mengambil gambar Ropi adalah seorang lagi pegawai polis yang bertugas membuat rondaan bersamanya.
Beliau tidak menyangka gambar itu menjadi viral apabila ia dimuat naik ke Facebook.
Sumber: mStar