KPDNKK Kedah Lupus Barang Rampasan Bernilai RM272,491

Shahrudin (dua, kanan) dan Sha'arani (kanan) menunjukkan kasut tiruan yang dilupuskan.
SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, di sini, semalam,  melupuskan pelbagai barang rampasan dalam tempoh 2008 hingga 2012 bernilai RM272 491.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Shahrudin Hamzah, berkata ia termasuk barangan tiruan seperti kasut, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) menerusi operasi dilakukan pihaknya dalam tempoh itu.

Beliau berkata, rampasan itu membabitkan 82 kes mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Kes-kes terbabit adalah membabitkan seluruh cawangan di Negeri Kedah kecuali di Langkawi yang berjaya diselesaikan sama ada dalam proses mahkamah atau kompaun yang berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media selepas melupuskan barang rampasan, di Bukit Makmur, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Cawangan KPDNKK Sungai Petani, Sha'arani Miskat.

Shahrudin (dua, kanan) menunjukkan CD/VCD cetak rompak yang dilupuskan.
Shahrudin berkata sebahagian besar barangan yang dilupuskan adalah CD dan VCD  membabitkan 18,384 keping iaitu 50 kes.

"Selain itu, sembilan kes membabitkan barangan tiruan seperti kasut, lain-lain kes melibatkan 23 kes.

"Permintaan tinggi daripada pengguna menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menjual produk berkenaan. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli barang cetak rompak dan tiruan," katanya.

Sumber: Sinar Harian