KPM Fokus Pada Sekolah Kategori C Banteras Dadah - Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid
NAKA – Kementerian Pendidikan akan memberikan lebih tumpuan kepada sekolah kategori C dalam usaha untuk memastikan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibanteras.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak kementerian kini menjalin kerjasama rapat dengan agensi Kementerian Dalam Negeri seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bagi memantau pelajar sekolah di bawah kategori tersebut.

“Kita (bersama agensi di bawah KDN) tumpu pada kawasan-kawasan sensitif bagi penyalahgunaan dadah, dan ada tempat-tempat tertentu kita kena ambil tindakan proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tadarus Perdana anjuran Biro Agama Umno Bahagian Padang Terap dan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di sini semalam.

Sekolah kategori A merupakan sekolah yang mempunyai rekod disiplin yang baik, kategori B pula merujuk kepada sekolah yang mempunyai sedikit kes disiplin manakala kategori C adalah sekolah yang mempunyai banyak kes disiplin melibatkan ponteng dan penyalahgunaan dadah.

Mahdzir berkata masalah dadah dalam kalangan pelajar sekolah pada masa kini berada pada tahap yang amat membimbangkan, apatah lagi dengan bekalan dadah yang mudah didapati berbanding dahulu.

“Sebab penyalahgunaan dadah tidak seperti dahulu macam ganja, heroin, morfin tapi sekarang ini guna dadah sintetik dan boleh didapati dari pelbagai sumber,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan masyarakat setempat membentuk pasukan khas mereka tersendiri untuk memantau tingkah laku dan disiplin anak-anak mereka dan pelajar sekolah dan tidak hanya menunggu pihak berkuasa menjalankan tugas membanteras dadah.

Beliau memberi contoh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) boleh membentuk pasukan tersebut.

“Contohnya pasukan ini ambil dahulu senarai 50 nama pelajar, kemudian disemak dan disiasat rekod disiplin mereka di luar sekolah juga, jadi pemantauan berterusan dan ini berlaku (dilaksanakan) di negara-negara maju,” katanya. – BERNAMA