Langgar Disiplin, MT UMNO Sebulat Suara Pecat Mukhriz, Muhyiddin


KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi UMNO pada mesyuarat semalam membuat keputusan sebulat suara memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO pada sidang media selepas mesyuarat itu menegaskan, pemecatan kedua-dua individu tersebut dibuat kerana didapati melanggar disiplin parti berkenaan.

Manakala itu ujar beliau lagi, keahlian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hanya digantung buat sementara waktu sehingga Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiapkan laporan mengenai kes pemimpin tesebut.

Najib selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tersebut di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini menyatakan bahawa kesalahan dilakukan oleh Muhyiddin dan Mukhriz adalah berat.

Kata beliau, pemecatan tersebut dibuat berikutan kedua-duanya secara terang melanggar disiplin lebih-lebih lagi apabila mereka didapati berada di atas pentas bersama-sama dengan ramai pemimpin ternama pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri serta mantan pemimpin Kedah itu juga membuat beberapa ucapan bersama-sama dengan pihak pembangkang, malah menyerang kepimpinan parti dan kerajaan Barisan Nasional secara terbuka.

“Itu adalah kesalahan yang besar dari segi disiplin parti. Oleh itu, berdasarkan kepada kelakuan ini maka Majlis Tertinggi UMNO secara sebulat suara mengambil keputusan untuk memecat dua pemimpin tersebut,” katanya.


Najib bagaimanapun menambah: “Untuk Datuk Seri Shafie, Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan untuk menggantung keahliannya sehingga laporan yang lengkap diterima daripada pihak Jawatankuasa Disiplin.”

Dalam masa yang sama, beliau memberitahu bahawa Majlis Tertinggi UMNO telah meminta pihak kerajaan untuk memutuskan segala sumbangan diberikan kepada pihak Yayasan Kepimpinan Perdana berkuat kuasa serta-merta.

Ini termasuk menyekat sama ada dari segi peruntukan kewangan, penyelenggaraan ataupun kakitangan dibekalkan kepada pihak yayasan tersebut yang kini dieksploitasi Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan pihak pembangkang.

“Ini kerana yayasan tersebut digunakan sebagai pusat untuk merancang menjatuhkan secara tidak demoktratik kerajaan yang ada dan mereka menggunakan cara yang tidak sah di sisi undang-undang,” tegas Najib lagi.

Sidang media itu juga dihadiri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut serta ialah Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. -Kedahnews.com