Lelaki di Taman Kenari, Kulim Akhirnya Kantoi Jual Mercun

Abdullah (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas.
KULIM - Tindakan licik seorang lelaki yang menjadikan hasil jualan mercun sebagai sumber pendapatan sejak dua tahun lalu terbongkar selepas kediamannya di Taman Kenari dekat sini, diserbu pihak polis, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, pihak polis berjaya menahan suspek dan merampas 15 kotak mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya percaya lelaki berusia 39 tahun itu aktif berniaga mercun setiap kali tiba musim perayaan.

"Serbuan ini dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Bekalan mercun ini dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan lori sebelum diagihkan kepada suspek untuk dijual.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek memperoleh untung sekali ganda daripada modal iaitu lebih RM10,000,” katanya.

Abdullah berkata, hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula kelmarin dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sumber: Sinar Harian