ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 50-an dipercayai lemas selepas terjatuh dari sebuah bot nelayan kelas B, kira-kira dua batu nautika dari muara Kuala Kedah, sekitar 11.30 pagi semalam.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Leftenan Madya Maritim, Mohd Yusriazrin Serad berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 12.00 tengah hari daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.
"Gerakan mencari dan menyelamat diaktifkan sejak jam 12.30 tengah hari, namun mangsa belum ditemui setakat 7.00 malam tadi," katanya.
Menurutnya, operasi menggunakan dua aset Maritim iaitu sebuah kapal maritim sugut dan sebuah bot kilat, dengan 2 anggota.
Mohd Yusriazrin berkata, operasi ditangguhkan lewat petang tadi ekoran jarak penglihatan yang terhad selain cuaca mulai gelap.
"Kita akan sambung operasi semula esok bermula 7.00 pagi," katanya.
Menurutnya, operasi turut dibantu sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) kota setar bersama dua aset miliknya, beserta tujuh buah bot nelayan.
Sumber: Sinar Harian