Abdul Wahab yang maut di tempat kejadian kerana jentera pembina jalan yang dipandunya terbalik. Gambar kecil: Abdul Wahab. |
KULIM - Seorang kontraktor maut dihempap jentera bina jalan yang dipandunya di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa Abdul Wahab Hamid, 58, dipercayai tergelincir bersama jentera beratnya ketika melakukan kerja-kerja menambak jalan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk tindakan lanjut,” katanya.
Anak sulung, Mohd Zahir Abdul Wahab, 30, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh sepupu yang bersama ayahnya melakukan kerja-kerja menambak jalan.
"Hari ini (semalam) kami semua pekerja bercuti. Jadi ayah beritahu nak ke tempat kerja untuk habiskan baki jalan yang belum siap supaya masa dapat dijimatkan sebelum masuk Ramadan dan nak fokus untuk kenduri kahwin saya.
"Ketika kejadian mereka berada pada jarak 100 meter dan terlindung, memang tak sedar mesin itu terbalik," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, semalam.
Menurutnya, arwah ayahnya sangat teruja untuk melakukan persiapan perkahwinannya yang akan diadakan Julai ini.
"Arwah ayah dah panggil dan atur orang untuk memasak semasa kenduri saya nanti. Saya pula hanya ada dua beradik dan tinggal saya saja yang belum kahwin," katanya.
Mohd Zahir berkata, arwah ayahnya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.
"Ayah keluar pergi kerja jam 8 pagi tadi seperti biasa.
"Jenazah ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Durian, Sungai Taka selepas Isyak," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Yazan Yahaya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Hi-Tech menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati jentera berat tiga tan pembuat mini tar telah jatuh ke tebing dan menimpa seorang mangsa yang juga pemandu.
“Pasukan kita telah mengeluarkan mangsa dengan bantuan jentolak untuk mengalihkan jentera berat tersebut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian