Lesen Dibatalkan, Rayani Air Rayu DCA Beri Peluang Kedua

PETALING JAYA - Rayani Air akan mengemukakan rayuan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) supaya memberi peluang kedua kepada pelabur baharu untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu.

Rayuan berkenaan susulan pengumuman Mavcom pada Isnin bahawa Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pembatalan lesen itu di saat kemuncak rundingan yang dilakukan pihaknya bersama pelabur baharu untuk pengambilalihan ekuiti dalam syarikat penerbangan itu.

"Pasukan pengurusan bagi pelabur baharu yang kukuh dan berkelayakan akan memulihkan dan mengurus syarikat penerbangan ini jauh lebih baik daripada kami.

"Rayani Air Sdn Bhd akan merayu kepada Mavcom dan DCA untuk memberi peluang kedua kepada pelabur baharu untuk memulihkan dan menguruskan syarikat penerbangan ini," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Isnin.

Mengenai rayuan itu, Ravi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air berkata, kebangkitan semula Rayani Air adalah penting bagi menangani segala impak akibat masalah kewangan yang melanda syarikat penerbangan itu.

Ini kerana, katanya, sehinggakan permasalahan tersebut menjadi isu sosioekonomi negara seperti gaji pekerja, bayaran balik tambang dan liabiliti lain.

"Perkara ini (kebangkitan semula) bertujuan untuk memberi manfaat kepada para pekerja, penumpang, pihak berkepentingan dan industri penerbangan awam negara," ujar Ravi berhubung tujuan rayuan yang akan dikemukakan kepada Mavcom dan DCA.

Minggu lalu, mStar Online melaporkan mengenai Rayani Air sudah menemui pelabur baharu sekali gus memberi harapan baharu kepada syarikat penerbangan itu untuk kembali beroperasi selepas dihimpit pelbagai masalah dan kontroversi selain digantung operasi.

Bagaimanapun, nasib Rayani Air masih bergantung kepada keputusan Mavcom sama ada syarikat penerbangan itu kekal sebagai pemegang ASL, susulan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu pada 25 Mei lalu.

Mavcom membuat penilaian terhadap Rayani Air susulan penggantungan sementara Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan itu selama tiga bulan oleh DCA pada 11 April lalu.

Menerusi kenyataan Mavcom pada Isnin,  Rayani Air telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

"Rayani Air tidak lagi boleh beroperasi sebagai syarikat penerbangan komersial berkuat kuasa hari ini," demikian menurut kenyataan itu.

Sumber: mStar