Mahdzir Khalid Menulis: Cabaran Pemimpin Sekolah

Dato' Seri Mahdzir Khalid
Tahun 1989 merupakan tahun yang begitu bersejarah dalam hidup saya sebagai pendidik apabila saya diamanahkan untuk menjadi Pengetua di SMK Gadong, Beaufort, Sabah (1989-1993), selepas 9 tahun berkhidmat sebagai pendidik. Secara jujurnya, saya merasa gusar untuk memikul tanggung jawab sebesar itu kerana saya tidak melalui satu latihan secara formal untuk menjadi Pengetua.

Namun begitu bersandarkan kepada pengalaman sebagai pemimpin pelajar semasa saya menuntut di USM dahulu, serta pengalaman sebagai pendidik, saya berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk anak-anak didik kami di SMK Gadong.

Justeru, saya amat faham tentang tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang pemimpin sekolah. Tidak ada siapa pun dapat menyangkal bahawa kepimpinan merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah.

Banyak cerita-cerita inspirasi mengenai bagaimana sebuah sekolah dapat berubah dan menempa kejayaan disebabkan oleh pemimpinnya. Bukti di peringkat antarabangsa jelas menunjukkan bahawa kepimpinan sekolah yang mantap juga diperlukan bagi meningkatkan pencapaian murid secara signifikan.

Dalam sistem sekolah berprestasi tinggi, pengetua/guru besar bukan sekadar pemimpin pentadbiran malah mereka juga merupakan pemimpin instruksional yang memberikan tumpuan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing.

Selalu saya berinteraksi dengan Pengetua dan Guru Besar ketika saya melawat ke sekolah-sekolah di seluruh negara, dan rata-rata mereka begitu bermotivasi dan bersemangat untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah masing-masing. Saya berasa kagum terutama dengan pemimpin sekolah yang sanggup menjadikan sekolah rumah kedua mereka, terkadang lebih dari rumah sendiri bagi memastikan sekolah mereka dapat menghasilkan murid yang memenuhi aspirasi negara.

Semasa saya di Sarawak baru-baru ini, jelas bahawa infrastruktur masih lagi menjadi isu yang perlu ditangani segera. Namun begitu yang menyentuh hati bukan sahaja saya, malah pemimpin kanan negara yang turut berada di sana adalah komitmen dan iltizam pemimpin sekolah dalam menyahut seruan Kementerian bagi menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah masing-masing.

Dalam pelbagai kekangan yang dihadapi, mereka tetap membulatkan tekad untuk memberikan yang terbaik demi masa hadapan anak-anak bangsa Malaysia. Saya berbangga dengan pemimpin sekolah yang begitu terbuka menggalakkan pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam mewujudkan satu komuniti pembelajaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Saya pernah menyebut di dalam Perutusan Tahun Baharu 2016 bahawa pemimpin sekolah perlu lebih kreatif dan berwawasan dalam menentukan hala tuju sekolah masing-masing dan dalam masa yang sama berkolaboratif dengan sekolah-sekolah berdekatan dalam membentuk satu komuniti pembelajaran profesional.

Kaji selidik berkaitan pemimpin sekolah menunjukkan dua daripada tiga set kemahiran paling penting yang dikenal pasti oleh pengetua/guru besar ialah berhubung kait dengan kepimpinan instruksional seperti membimbing guru dan meningkatkan prestasi, sebagaimana yang telah diterangkan di dalam Bab 5 PPPM. Jelas bahawa peranan pemimpin sekolah kini telah berubah selaras dengan perkembangan pesat teknologi.

Saya kerap menyebut tentang “the new society” atau masyarakat baharu terutamanya anak-anak kita yang dinaungi teknologi ini. Marc Prensky dalam artikelnya bertajuk Digital Native, Digital Immigrants pada 2001 telah menerangkan dengan jelas impak teknologi kepada anak-anak kita ini.

Kita perlu menerima hakikat bahawa murid kita sekarang ini adalah digital natives, bermaksud murid ini sejak lahir lagi sudah didedahkan dengan pelbagai alat komunikasi canggih yang dapat merangsang deria mereka dengan cepat. Umur dua tahun, kalau mengikut teori perkembangan kanak-kanak baru sahaja dibentuk gross motor skills atau kemahiran motor kasar; tetapi sekarang dua tahun telah diberi i-tab atau i-pad, sudah pandai menggunakan touch screen; dan perubahan ini bukan mengambil masa berpuluh tahun tetapi berlaku dengan begitu pantas.

Adakah pemimpin sekolah kita bersedia untuk memacu sistem pendidikan dengan perubahan pantas ini? Teknologi digital yang kita sendiri agak sukar untuk gunakan adalah mainan biasa untuk murid kita. Ini bermakna bahawa murid hari ini tidak sama dengan murid yang kita bayangkan semasa kita dilatih menjadi guru dahulu.

Sistem pendidikan yang kita lalui dahulu dan semasa kita dilatih sebagai guru dan pemimpin adalah berbeza dengan dunia murid kita sekarang. Apakah kita bersedia untuk menghadapi mereka ini? Adakah kita bersedia untuk membimbing guru-guru kita untuk mendidik mereka bagi bersedia pula dengan teknologi dan cabaran yang bakal wujud dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang?

Jawapan kepada persoalan yang dilontarkan ini telahpun dijawab dengan jelas, terang dan nyata dalam PPPM kita. Sebab itu walaupun ada dalam kalangan kita sendiri yang mengkritik usaha Kementerian, kita laksanakan pelbagai inisiatif kerana kita sedar bahawa pemimpin sekolah kita perlu diberi bimbingan bagi meningkatkan kompetensi.

Sepanjang Gelombang 1, Kementerian telah memberi sokongan kepada semua peringkat, daripada Pengurusan Kementerian hingga kepada pelaksana di bilik darjah. Kita telah berjanji dalam Anjakan 5 PPPM bahawa Kementerian memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah. Justeru pelbagai insiatif khusus di bawah Piagam Pemimpin telah dilaksanakan dan telah mencapai kejayaan memberangsangkan.

National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) diiktiraf oleh agensi pusat sebagai program latihan persijilan bagi membangunkan bakal pemimpin sekolah dengan kemahiran untuk menerajui sekolah. Pada tahun 2015, seramai 1,371 calon yang berpotensi sebagai bakal pemimpin sekolah telah dilatih.

Dengan calon yang telah diiktiraf melalui NPQEL, Kementerian telah berjaya mengisi 99.1% kekosongan tempat pemimpin sekolah dengan pemimpin yang telah menerima pengiktirafan NPQEL dalam masa yang ditetapkan. Latihan dan pengiktirafan yang diberikan melalui NPQEL ini adalah penting bagi memastikan pemimpin sekolah kita bersedia dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai kepimpinan yang menjadi aset penting dalam menerajui sesebuah organisasi.

Kejayaan anak-anak kita dalam pelbagai bidang – akademik, sukan, budaya dan akhlak dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tempoh persekolahan mereka adalah testimoni kepada kompetensi pemimpin sekolah kita sebagai pemimpin instruksional yang berwawasan.

Saya telah mengingatkan semua pemimpin pendidikan bahawa kita perlu menjadi ejen perubahan; mesti kreatif, inovatif dan berintegriti, serta mengamalkan perkongsian amalan terbaik dengan rakan-rakan.

Ramai antara pemimpin sekolah kita adalah pemimpin yang cemerlang. Kalau kita cemerlang, sudahkah kita membantu rakan-rakan lain di dalam daerah kita? Tidak mahukah kita melihat pemimpin-pemimpin sekolah lain turut cemerlang kerana kecemerlangan itu akan melonjakkan tahap pendidikan di negara kita.

Kita sebagai pemimpin sekolah harus sedar; dasar pendidikan kita amat mencabar kerana kita melawan tiga K iaitu kemiskinan, kedaifan dan kejahilan. Semoga kita sebagai pemimpin sekolah mendapat kekuatan dan kecekalan dalam menempuh cabaran ini.

Nantikan penulisan saya yang seterusnya.  -Mahdzir Khalid