Mak Cun Ajak Berbuka Puasa Di Sungai Petani Inn

PELAKON dan pengarah yang sinonim dengan karakter Mak Cun, Erma Fatima mengajak peminat setia drama tersebut menyertai majlis berbuka puasa amal yang akan diadakan dengan kerjasama Sungai Petani Inn (SP Inn) pada 24 Jun ini.

Sebahagian daripada jualan meja pada majlis itu nanti akan diserahkan kepada rumah anak-anak yatim yang terdapat di sekitar Kota Kuala Muda, Kedah.

Menurut Erma, majlis berbuka puasa itu akan dihidangkan pelbagai masakan kampung yang menjadi ‘signature dish’ chef SP Inn seperti masak lemak jantung pisang, ikan singgang dan kerabu tauge.

“Saya rasa bersyukur dapat terlibat sama dalam program ini. Ramai sebenarnya anak-anak yatim yang memerlukan pertolongan (kita).

“Hasil jualan meja itu nanti akan diserahkan kepada badan-badan kebajikan, rumah anak-anak yatim di sekitar Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa di Restoran Grella’s di Subang Jaya, baru-baru ini.


Majlis buka puasa amal itu nanti akan turut diserikan dengan kehadiran pelakon-pelakon drama bersiri Mak Cun.

Menurut Pengurus Besar SP Inn Ibrahim Ishak, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang sumbangan baik dari segi wang ringgit ataupun barangan untuk membantu rumah-rumah anak yatim.

“Pihak yang mahu menyumbang boleh serahkan terus kepada SP Inn manakala jika dari Kuala Lumpur, mereka boleh sampaikan sumbangan kepada Erma sendiri.

“Untuk majlis buka puasa amal, kita buat jualan meja berjumlah RM800 hingga RM1,200 untuk 10 orang satu meja.

“Yang menariknya Erma sendiri akan masak dan menghidangkan masakannya kepada mereka yang hadir pada majlis itu nanti,” katanya.

Pengurus Besar Sungai Petani Inn, Ibrahim Ishak.
Pada hari berkenaan produk makanan Mak Cun yang dikeluarkan Erma akan turut dihidangkan buat pengunjung SP Inn, antaranya roti bom, roti paratha dan kari.

Mereka yang berminat hendak merasai masakan chef berpengalaman SP Inn sambil beramah mesra dengan pelakon Mak Cun, boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 04-4213411/12/13. –Kedahnews.com