Maritim Kedah Tahan 5 Nelayan, 19.01 Gram Dadah

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah menahan lima nelayan dan merampas 19.01 gram dadah dalam Ops Pagar Laut kira-kira 3.8 batu nautika dari Kuala Kedah awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata kesemua nelayan tempatan berumur antara 22 hingga 42 tahun ditahan kira-kira pukul 6.45 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan paket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 19 gram dan satu tiub straw dipercayai syabu dianggarkan seberat 0.01 gram bernilai RM138 dalam sebuah beg dalam bot tersebut.

"Kelima-lima suspek yang bekerja dalam bot tersebut positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala kedah untuk siasatan dan pendakwaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Maritim berusaha membanteras aktiviti melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan pihaknya berharap kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah ditalian 04-731 0579 untuk aduan atau kecemasan. - Bernama