Masjid Zahir |
Malah, bilangan peminta sedekah dilihat makin bertambah sejak akhir-akhir ini, sehingga menimbulkan tanda tanya dari mana mereka muncul secara tiba-tiba.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat kira-kira 15 peminta sedekah yang berada di kawasan masjid ini setiap hari Jumaat.
Ada beberapa peminta sedekah berkumpul di bahagian tertentu, misalnya pintu hadapan masjid sebelum solat Jumaat bagi meraih simpati.
Tatkala menjejaki kaki ke masjid, mata tidak lepas melihat seorang ibu mengendong anak kecil demi meminta sedekah sambil ditemani seorang lagi kanak-kanak perempuan.
Hati terasa pilu melihat dua kanak-kanak kecil berusia lapan bulan dan enam tahun berkenaan menunggu di bawah cuaca panas terik.
Ibunya yang hanya dikenali sebagai Siti, 35, mendakwa baru pertama kali meminta sedekah pada bulan puasa.
“Saya meminta sedekah untuk mencari wang lebih pada Ramadan ini untuk menyara kehidupan kami anak beranak.
“Duduk hampir satu jam bersama dua anak di tepi masjid sebegini, dapatlah saya kutip wang lebih kurang RM50 hingga RM60,” katanya yang mendakwa bekerja sebagai pembantu kedai.
Katanya, dia bekerja pada hari biasa, namun pendapatan sekitar RM500 sebulan tidak mencukupi demi untuk menyara anak berusia lapan bulan hingga tujuh tahun.
Menurutnya, dia juga takut ditahan pihak berkuasa, namun terpaksa diketepikan perasaan itu memandangkan gaji suami sebagai pekerja kontrak juga tidak menentu.
Dalam tinjauan itu, seorang lelaki yang menggunakan tongkat dipercayai warga asing turut kelihatan meminta sedekah, namun dia menghilangkan diri sebelum didekati penulis.
Turut kelihatan, beberapa tong diletakkan di tepi tangga yang muncul secara tiba-tiba dibawa dua wanita ketika khutbah Jumaat berlangsung dan lesap selang 30 minit kemudian.
Terima aduan mengenai peminta sedekah
Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Sheikh Roslan Abd Halim berkata, tidak dinafikan, pihaknya ada menerima aduan daripada jemaah masjid berhubung kehadiran peminta sedekah yang makin bertambah.
Siti dan anaknya menunggu di depan pintu pagar masjid. |
Katanya, pihak masjid sememangnya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk meminta sedekah daripada anak kariah di kawasan tersebut.
Namun pun begitu, Sheikh Roslan berkata, nasihat terhadap peminta sedekah tetap akan diberikan dari semasa ke semasa, meskipun ada peminta sedekah yang berdegil meneruskan aktiviti mereka.
“Jadi, orang awam khususnya anak kariah diminta berhati-hati dalam memberi sedekah, memandangkan ada sebilangan mereka yang tidak susah dan hanya mengambil kesempatan semata-mata,” katanya.
Sikap pemurah perlu bertempat
Jemaah masjid, Shahbani Mohd Noor, 52, pula mengakui bersimpati melihat keadaan sebilangan peminta sedekah berkenaan, bagaimanapun sikap pemurah perlulah bertempat.
Menurutnya, dia merasakan tindakan sebilangan individu mengambil kesempatan meminta sedekah pada bulan puasa adalah salah.
“Mengapa pada bulan biasa, bilangan peminta sedekah tidak ramai seperti sekarang. Kini, warga asing pun ramai ambil kesempatan melakukan aktiviti itu,” katanya.
Katanya, kehadiran peminta sedekah yang makin bertambah kebelakangan ini, dikhuatiri menimbulkan rasa kurang selesa untuk jemaah menunaikan solat.
Bagi Mohd Kholib Hamid, 48, pula kehadiran peminta sedekah yang didakwa kebanyakannya warga asing boleh menjejaskan imej masjid.
Bagaimanapun, kata Kholib, dia merasakan sumbangan kepada mereka memerlukan perlu diberikan pada bulan mulia ini, namun ia perlulah dilakukan berhati-hati.
Henti bantuan jika penerima JKM minta sedekah
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, pihaknya peka mengenai kehadiran peminta sedekah yang mengemis di kawasan tertentu.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan kepada mereka yang dikesan melakukan perbuatan meminta sedekah untuk tindakan sewajarnya.
“Sebagai contohnya, jikalau kita mengesan peminta sedekah dari kalangan warga asing, individu terlibat akan diambil sebelum kes dirujuk kepada imigresen,” katanya.
Namun, menurutnya, beliau mengakui sukar mengambil tindakan kepada peminta sedekah terdiri dari orang kurang upaya (OKU) misalnya, yang berselindung disebalik perniagaan kecil-kecilan.
Lebih membimbangkan, kata Syahrul, ada dalam kalangan peminta sedekah berkenaan dikenal pasti sebagai penerima bantuan JKM dari daerah lain ataupun penerima zakat.
Justeru, Syahrul berkata, mana-mana penerima bantuan didapati meminta sedekah akan diberikan amaran bagi kesalahan pertama, manakala bantuan akan ditamatkan terus bagi kali kedua.
Pandangan beliau disokong Ketua Bahagian Korporat Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Mohd Sani Harun yang memandang serius isu berkenaan.
Kata beliau, masyarakat tempatan dinasihatkan sebaik-baiknya menyelidik kesahihan masalah dialami individu terlibat sebelum memberi derma.
Menurutnya, peminta sedekah sendiri diminta menghentikan perbuatan mereka, sebaliknya terus ke pejabat berkaitan untuk permohonan bantuan, sekiranya benar-benar memerlukan.
Sumber: Sinar Harian