Mat Redho Popular, Anak Malaysia Pertama Sertai Ninja Warrior

Mat Redho
Nama Mat Redho secara tiba-tiba menjadi sebutan rakyat Malaysia setelah video aksinya menyertai program hiburan-sukan-permainan televisyen, Sasuke Vietnam atau lebih dikenali sebagai Ninja Warrior tersebar menjadi viral.

Aksi tangkas itu membuatkan ramai yang kagum apabila pegawai teknologi maklumat itu berjaya melepasi semua halangan di peringkat pertama dalam masa kurang 46 saat.

Lebih membanggakan, Mat Redho dipercayai merupakan anak Malaysia yang pertama menyertai program berbentuk candawara tersebut.

Jika ada yang masih ingat, Mat Redho atau nama sebenarnya Mohd Redha Rozlan pernah memegang gelaran Juara Fear Factor Malaysia gandingan bersama pelakon Erin Malek.


Menurut laporan agensi berita Viet Nam News (VNS), rancangan permainan yang berasal dari Jepun itu telah memulakan musim keduanya di Vietnam mulai 19 Mei lalu.

Seramai 1,500 peserta termasuk 35 daripadanya warga luar negara telah mendaftarkan diri untuk menyertai pusingan pertama.

Peserta akan ditapis kepada 100 pesaing dan perlu melepasi empat peringkat.

Antara halangan yang terdapat dalam permainan ini adalah seperti Jambatan Berpusing, Panjat Tali, Palang Berlompat, Tangga Salmon, Loncatan Labah-Labah dan Elak Tukul.

Apa pun, selamat maju jaya kita ucapkan kepada Mat Redho. –Kedahnews.com