KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), mengumumkan penganjuran pameran pelancongan peringkat kebangsaan yang akan bermula dari 2 hingga 4 September 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam satu sidang media bertempat di Wisma MATTA, di sini, semalam.
Sidang media tersebut dipengerusikan oleh pengerusi MATTA sendiri iaitu Datuk Hamzah Rahmat. Turut hadir ialah Setiausaha Agung Kehormat, Nigel Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Phua Tai Neng.
Bagi pameran pelancongan MATTA yang dijadualkan berlangsung pada September akan datang, Terengganu diangkat sebagai ‘Destinasi Paling Digemari’ rakyat Malaysia memandangkan tahun 2017 adalah tahun melawat negeri itu. Manakala di rantau ASEAN pula, Indonesia menjadi destinasi popular pelancong berbanding negara-negara ASEAN yang lain.
Sebanyak 1,246 booth disediakan untuk agensi pelancongan tempatan dan ASEAN di Hall 3 dan 4 PWTC. Berdasarkan dari jumlah keseluruhan, hanya 89 booth sahaja tinggal sehingga semalam.
“Sejak hari pertama pendaftaran dibuka pada 1 Jun lalu, booth antarabangsa oversubsribed dari jangkaan,” katanya.
Pengerusi MATTA, Datuk Hamzah Rahmat |
Selain itu, Hamzah juga turut mengumumkan bahawa MATTA Fair Penang kembali menyertai pameran pelancongan itu setelah empat tahun tidak mengambil bahagian. Ianya dijangka berlangsung pada 23 hingga 25 September 2016 bertempat di Straits Quay Convention Centre, Penang dan akan menjadi acara tahunan MATTA.
Dalam pada itu, Hamzah juga turut menjelaskan bahawa pihaknya masih lagi meneruskan promosi Umrah Pavilion dengan menawarkan pakej-pakej Umrah dari ejen-ejen pelancongan yang bertauliah.
Bagaimanapun berdasarkan statistik penganjuran MATTA yang diadakan pada Mac lalu, seramai 113, 121 pengunjung hadir ke pameran tersebut dan jualan yang diperolehi semasa pameran tersebut adalah melebihi RM200 juta.
Oleh itu, bagi penganjuran MATTA yang akan datang, Hamzah berharap ianya mampu mencapai sasaran seperti penganjuran MATTA yang diadakan pada bulan Mac lalu. –Kedahnews.com