MB Kedah Akan Pengerusikan Mesyurat Exco Di Hospital P. Pinang

Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail
PENDANG - Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah buat julung-julung kalinya akan diadakan di Hospital Pulau Pinang dan akan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Disahkan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, mesyuarat berkenaan diminta sendiri oleh Menteri Besar untuk diadakan di sana, menandakan tahap kesihatan beliau yang kian pulih sejak menjalani pembedahan baru-baru ini.

"Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri. Itu maknanya Menteri Besar semakin sihat dan insyaAllah beliau akan pengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya di majlis Ihsan Ihya Ramadhan Kerajaan Negeri Kedah di sini, hari ini.


Ku Rahman yang sudah tiga kali menziarahi Ahmad Bashah menjelaskan bahawa keadaan terkini Menteri Besar ketika beliau menziarahinya semalam adalah dalam keadaan yang positif dan baik.

"Dia beza banyak dari hari mula.. Dia begitu ceria, nampak bertenaga..pi sembang dengan dia.. dia tanya tentang program-program negeri Kedah, tanya program tu macam mana, program ni macam mana... Dia cukup mengambil berat.

"Ini menunjukkan bahawa Menter Besar kita insyaAllah recovering well (beransur pulih dengan baik) dan insyaAllah akan dapat memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar dalam masa terdekat," jelas beliau.

Adun Guar Chempedak itu turut menolak dakwaan komplikasi usus yang dialami Ahmad Bashah sebelum ini ada bersangkut paut dengan kanser seperti yang didakwa segelintir pihak sebelum ini.

Beliau yakin bahawa pihak hospital Pulau Pinang dan doktor yang merawat Menteri Besar Kedah itu turut memberikan kebenaran kepada Ahmad Bashah untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

"Tak mengganggu, I'm very sure (saya amat yakin) beliau dapat nasihat daripada doktor dan saya yakin doktor dah bersetuju untuk beliau pengerusikan mesyuarat itu.

"Jika tidak, takkan dia boleh buat? Buat di hospital pulak tu.. mesti dapat keizinan doktor, kan? Dapat "endorsement" (kebenaran) daripada doktor.. maksudnya beliau dah okey lah," jelasnya lagi. -Kedahnews.com