MB Kedah Dibenar Keluar Hospital Pulau Pinang

GEORGETOWN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini selepas menjalani rawatan selama 18 hari di hospital berkenaan.

Beliau dibenarkan keluar daripada wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada kira-kira pukul 4.30 petang dengan ditemani isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta pakar bius HPP, Datuk Jahizah Hassan dan beberapa pertugas hospital.

Beliau dijangka menjalankan pemeriksaan susulan Isnin ini.

Ketika keluar daripada wad ICU, Ahmad Bashah kelihatan ceria dan senyum sambil melambaikan tangan kepada anggota media.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di Hotel Grand Alora, Alor Star, pada 4 Jun lepas.

Beliau kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Kedah pada hari berkenaan sebelum dirujuk ke HPP pada hari berikutnya untuk menjalani pembedahan membuang sebahagian usus besarnya yang menyebabkan pendarahan. – BERNAMA