IBADAH puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu tunjang utama dalam Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu menunaikannya termasuklah golongan kanak-kanak.
Malah ulama ada menyebut, walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan.
Walaupun tiada hadis Rasulullah SAW yang memberi bukti jelas pada usia berapa kanak-kanak perlu mula berpuasa namun telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Kami puasakan pula anak-anak kecil kami, dan kami berangkat ke masjid dengan menjadikan mainan daripada kapas buat mereka, jika ada salah seorang dari mereka menangis minta makanan, kami berikan mainan itu kepadanya sampai masuk waktu berbuka”.
Pernyataan itu jelas memberi isyarat bahawa ibadah puasa perlu dididik dan dilatih dalam kalangan anak-anak kecil, justeru menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia lima hingga tujuh tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini.
Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak.
Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.
Untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan.
Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalnya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah duit raya jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.
Ibu bapa juga boleh menerangkan keperluan berpuasa dalam konteks agama dan kesihatan agar anak-anak faham bahawa ibadah itu suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya.
Di kesempatan bulan Ramadan, ibu bapa harus memanfaatkan masa sebaiknya untuk mengajak anak-anak melakukan ibadah dan kebaikan seperti bersolat tarawih, bertadarus al-Quran, berbuka puasa secara beramai-ramai dan bersedekah yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.
Didikan agama yang mantap sejak usia kecil pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
*DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM/Utusan